suria

Rakan sekolah sebak, cari kawan ‘hilang’ ditemui petik gitar dalam tandas... Air mata lelaki jatuh jua akhirnya!

Raffi (kiri) menceritakan pengalamannya panik apabila sahabat baik Zulfan 'hilang' namun rupa-rupanya bersendirian bermain gitar di tandas.

SEPERTI yang kita tahu, zaman persekolahan antara kenangan paling diingati ramai kerana banyak peristiwa pahit dan manis yang dicipta bersama sahabat handai dan juga guru.

Apatah lagi bagi pelajar sekolah berasrama kerana kebanyakan di antara mereka lebih banyak meluangkan masa bersama sahabat yang menjadi peneman setia kerana masing-masing jauh dari kampung halaman dan keluarga.

ARTIKEL BERKAITAN : Gadis rindu nak jumpa BFF sanggup naik tren TBS-KK, tapi apa yang berlaku memang mengejutkan - “Marah! Saya padam gambar, sekat nombor telefon”

Terbaharu, sebuah video tular di laman sosial menyaksikan beberapa sahabat panik mencari rakannya yang 'hilang' pada hari terakhir persekolahan sebaik selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Lati, Pasir Mas di Kelantan.

Namun, pencarian mereka membuahkan hasil apabila rakan kesayangan, Zulfan Atiq Ahmad Izhan, 17, tidak berada di bilik sebaliknya ditemukan di dalam tandas, bukan melepaskan 'hajat' tapi sedang menyanyikan lagu Kekasih Bayangan dendangan Cakra Khan.

Bagaimanapun bagi pemilik akaun yang ingin dikenali sebagai Raffi, dia mengakui tidak dapat menahan air mata selepas rakannya selesai menyanyi kerana terlalu sedih untuk berpisah setelah lima tahun mengukir kenangan bersama.

Gugur air mati Raffi terlalu sebak jumpa Zulfan bersendirian menyanyi sambil main gitar di tandas pada hari terakhir persekolahan.

"Sebenarnya last day tu ada dinner kat dewan. Lepas majlis tu kami ramai-ramai duduk di dataran sambil tengok bulan, sembang gilir-gilir sharing moment sampai pukul 4 pagi.

"Tiba-tiba terperasan yang sorang kawan kami tak ada. Kami pun berpecah bahagikan kepada beberapa kumpulan untuk cari dia.

"Cari kat bilik tak ada. Rupa-rupanya dia kat tandas tengah nyanyi sambil main gitar. Masa tu first time dengar dia nyanyi. Sebelum ni saya cuma tahu yang dia pandai main gitar saja.

"Rasanya dekat tiga jam dia kat toilet tu, sebab lama kami cari dia. Lepas dia habis nyanyi saja kami semua berpelukan sebab itulah video tu terhenti sampai situ," katanya ketika dihubungi mStar.

Raffi atau nama sebenarnya Muhammad Daniel Raffiuddin Rosmadi, 17, memberitahu berasa sebak kerana nilai persahabatan mereka tidak boleh dijual beli.

Nilai persahabatan yang tidak boleh dibeli.

Tambahnya, tidak mudah untuk melengkapkan forum kerana rakan-rakannya tinggal di negeri berlainan, sekali gus menyukarkan mereka untuk mencari masa dan lokasi sesuai untuk berjumpa.

"Kami sebak sebab kami tahu susah nak dapat balik momen macam ni. Nak jumpa semua sekali bukan mudah sebab masing-masing duduk di negeri berbeza macam kat Kelantan, Selangor dan Pahang.

"Lagipun nak cari pengganti kawan ni, tak sama, takkan sama macam apa yang kita ada sekarang ni.

"Hari tu air mata lelaki memang jatuh sebab sebak sangat. Dengan tak tidurnya, dengan throwback daripada zaman form 1, daripada junior sama-sama sampailah jadi senior," ujarnya yang bercita-cita menjadi guru.

Sementara itu, Raffi berpendapat sahabat berperanan memberi semangat dan sokongan ketika kawan mereka memerlukan.

Lagipun nak cari pengganti kawan ni, tak sama, takkan sama macam apa yang kita ada sekarang ni.

MUHAMMAD DANIEL RAFFIUDDIN ROSMAIDI

PELAJAR

"Macam sahabat asrama ni banyak tolong kita tau. Yelah, macam saya kat rumah tak pandai gosok baju, tapi bila masuk asrama, kawan-kawan ajarkan.

"Lagi satu, kawan-kawan pun tak kedekut ilmu. Ajar teknik nak belajar public speaking supaya tak malu berdepan orang ramai.

"Sekarang banyak kes depression, jadi sahabat-sahabat ini penting untuk stabilkan emosi kita, bagi motivasi dan juga sokongan.

Di samping itu, Raffi sempat menasihati pengguna laman sosial yang menyaksikan video tersebut agar lebih menghargai persahabatan kerana masa tidak boleh diundur.

Inilah antara teman-teman Raffi .

Remaja ini juga mengingatkan sahabat-sahabatnya supaya tidak lupa menjaga diri dan maruah keluarga, selain berpegang kepada tiang agama selepas ini.

"Saya harap dengan penularan video ini di laman sosial dapat menjadi mesej supaya kita lebih menghargai sahabat kita. Sebab memori tu ada, cuma masa tak dapat diundur.

"Pesanan saya pada sahabat-sahabat sejati, jangan lupa jaga diri, jaga maruah keluarga dan agama.

"Kalau di asrama, cikgu masih bimbing kita. Tapi lepas ni, tak ada siapa nak marah kalau kita tak nak datang kelas ke, nak tidur ke. So, jaga diri supaya kita dapat jadi insan berguna pada masa akan datang.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Sahabat

Artikel Lain