Gagal 18 kali, belajar 11 semester baru dapat ‘degree’... bakal peguam pernah nak rempuh kereta orang - “Saya bukan slow learner” - Viral | mStar

Gagal 18 kali, belajar 11 semester baru dapat ‘degree’... bakal peguam pernah nak rempuh kereta orang - “Saya bukan slow learner”

(kiri) Rafiq bersama jubah sempena majlis konvokesyennya pada minggu ini. (kanan) Semasa memenangi anugerah peguam terbaik dalam persidangan Model PBB di Universiti Taylor mewakili UiTM. Foto ihsan Muhammad Rafiq Izzat Zaidi

GAGAL sekali bukan bermakna gagal selamanya, tapi seorang lepasan universiti ini mengalami kegagalan sebanyak 18 kali.

Seorang pemuda yang mengakui dirinya slow learner mendedahkan dia terpaksa mengharungi kegagalan sehingga tiga kali hanya untuk lulus dalam subjek tertentu.

“Tapi semakin banyak saya gagal, lebih mendalam subjek tu ingat dalam kepala saya meskipun saya terpaksa menghabiskan masa selama 11 semester. 

ARTIKEL BERKAITAN: “Kau belajar main-main macam mana nak dapat” - Tragis kisah selempang pink... abah sebak, mak merajuk 2 hari

ARTIKEL BERKAITAN: Akhirnya... selepas tesis kena ‘reject’ 3 kali, pelajar pusing satu UPM cari Uncle Sri

“Saya telah gagal sebanyak 18 kali sehingga saya akhirnya tamat pengajian,” tulisnya menerusi satu perkongsian di laman sosial Twitter sehingga menjadi tular.

Perkongsian Rafiq mengenai kegagalannya sehingga berjaya menamatkan pengajian di universiti.

Pemuda berusia 25 tahun itu berkata, dia menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, Selangor pada 2013. 

Pemilik nama Muhammad Rafiq Izzat Zaidi itu bagaimanapun menjelaskan bahawa dia tidak didiagnosis sebagai lembam, sebaliknya dirinya mengambil masa untuk mempelajari sesuatu subjek di universiti.

“Saya bukan didiagnosis slow learner, tapi bila masuk universiti... saya tak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran pembelajaran yang berbeza.

“Saya bukan juga ada masalah belajar, cuma ambil masa nak faham sesuatu subjek. Sudahnya, semester pertama saya dah gagal empat subjek,” katanya kepada mStar.

Rafiq pada hari pertama (kiri) dan hari terakhir (kanan) di Fakulti Undang-Undang UiTM.

Anak jati Kuantan, Pahang itu berkata, kegagalan yang banyak itu menyebabkan dia terpaksa melalui tambahan tiga semester menjadikan 11 semester keseluruhan untuk tamat pengajian.

“Bila tengok kawan-kawan dah habis belajar sampai semester kelapan iaitu tahun keempat, saya masih lagi sambung belajar. Tengok mereka masuk bidang guaman.

Kemahuan saya untuk menjadi peguam sejak di sekolah rendah membuak-buak sehingga saya tak peduli gagal banyak kali dan terus belajar dan belajar lagi.

RAFIQ

“Keadaan itu memberi tekanan buat saya, selain segelintir saudara-mara sering mengajukan soalan ‘Rafiq, bila nak habis belajar? Lama sangat Rafiq kat U tu’ antara kata-kata yang menjengkelkan saya yang menambah tekanan sedia ada,” katanya.

Menurut Rafiq, dia nyaris digugurkan dari pengajian selepas gagal subjek yang sama sebanyak tiga kali berturut-turut tetapi bersyukur diberi peluang kedua selepas membuat rayuan.

Keluarga menjadi pendorong utama untuk meneruskan pengajian.

Kegagalan demi kegagalan tidak pernah membuatkan anak sulung daripada empat beradik itu berputus asa disebabkan cita-citanya untuk bergelar seorang peguam suatu hari nanti.

“Pada satu masa, saya pernah terfikir untuk membunuh diri. Ketika itu, saya sedang memandu dan rasa nak rempuh kereta dari arah bertentangan untuk melepaskan tekanan.

“Bagaimanapun, saya tak lakukannya kerana saya fikir balik apa gunanya buat macam tu sebab bukannya dapat menyelesaikan masalah pun,” katanya.

Rafiq berkata, keluarganya dan beberapa pensyarah antara yang memberi kekuatan kepada dirinya untuk berusaha sehabis baik untuk menamatkan pengajian.

“Malahan, kemahuan saya untuk menjadi peguam sejak di sekolah rendah membuak-buak sehingga saya tak peduli gagal banyak kali dan terus belajar dan belajar lagi,” katanya.

Rafiq dan rakan-rakan semasa pengajian tahun akhir.

Anak muda ini memberitahu, dia turut menjadikan kebanyakan pemimpin dan tokoh negara yang berlatarkan pendidikan dalam undang-undang sebagai inspirasi.

Rafiq akhirnya menamatkan pengajian pada awal tahun ini dan kini memulakan kerjayanya sebagai pelatih dalam kamar sebelum bergelar sebagai peguam.

“Saya syukur kerana akhirnya tamat pengajian setelah melalui tempoh kegagalan yang panjang dan terus berusaha untuk bergelar peguam dan mempunyai firma guaman sendiri.

“Ingatlah, kalau dah jatuh tujuh kali, kena bangun buat kali kelapan. Kerja keras sememangnya berhasil,” kata Rafiq.