Naik bukit, turun bukit usung jenazah wanita meninggal bersalin... suami tunjuk reaksi tak senang - “Masa nak turunkan keranda tu...” - Viral | mStar

Naik bukit, turun bukit usung jenazah wanita meninggal bersalin... suami tunjuk reaksi tak senang - “Masa nak turunkan keranda tu...”

Dua anak yang masih kecil ini masih tidak mengerti tentang kematian ibunya.

NAIK bukit, turun bukit sambil mengusung keranda selama 10 minit sebelum sampai ke rumah arwah.

Begitulah situasi getir yang perlu dilalui Yunizam Yusop, pemuda yang menyediakan perkhidmatan van jenazah percuma sejak tahun lalu bersama seorang lagi rakannya sebelum tiba di sebuah kediaman di Bukit Taman Mutiara dekat Sandakan, Sabah, petang Khamis.

Namun sebelum menuju ke rumah waris, Yunizam berkata seorang lelaki yang juga suami kepada wanita yang meninggal dunia itu sudah sedia menunggu di lorong jalan masuk ke rumah mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Pembedahan keluarkan bayi berjaya, suami hampir rebah doktor beritahu lidah isteri perlu dipotong ‘semua’ dan segera, “Sayang dah nak mati ke?”

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya rasa dia boleh sembuh…” - Suami terkilan baju raya ditempah untuk isteri hanya tinggal kenangan

"Sebenarnya saya terima panggilan daripada orang lain bukan waris sendiri. Masa tu kami cari-cari rumah... semua lorong kami masuk. Last sekali barulah nampak ada seorang lelaki melambai panggil kami.

Bayi perempuan dilahirkan selamat tetapi ibunya meninggal dunia akibat komplikasi semasa bersalin.

"Masa nak turunkan keranda tu, dia sempat tanya berapa upah sewa van sambil tahan tangan saya.

"Saya beritahu saya tak minta sesen pun sebab ni van jenazah percuma. Lepas tu reaksi muka dia pun berubah nampaklah dia senang hati," katanya kepada mStar.

Semasa dalam perjalanan ke rumahnya, pemuda berusia 31 tahun itu tersentak apabila dimaklumkan lelaki itu bahawa isterinya meninggal dunia semasa bersalin anak ketiga mereka.

Bila saya tanya anak kedua arwah mana mamamu, dia jawab sedang tidur pakcik. Perasaan saya waktu tu sukar nak diungkapkan dengan kata-kata. Tiba-tiba air mata saya mengalir.

YUNIZAM YUSOF

"Suami beritahu dia tak ada duit nak hantar isteri dia bersalin dekat hospital kerajaan. Jadi isterinya bersalin dengan bantuan bidan kampung.

"Isterinya meninggal akibat komplikasi semasa kelahiran kerana uri masih tertinggal dalam rahim. Namun bayi perempuan yang dilahirkannya selamat," katanya.

Jelas Yunizam, kes kematian ibu semasa bersalin bukan kes pertama dikendalikannya.

Yusnizam bersama dua anak arwah.

"Banyak kali saya kendali kes begini. Ikutkan ini kes ke-20. Kadang tu ibu selamat anak pula meninggal, ada kes tu dua-dua sekali meninggal dan ada juga bayi meninggal masa dalam perut.

"Kes seperti ini kerap berlaku kerana penduduk di sini sebenarnya ada masalah dokumentasi. Bila masuk hospital kerajaan perlukan dokumentasi. Jika tak ada perlukan deposit yang agak tinggi.

"Jadi ada yang tak mampu dan pilih untuk bersalin di rumah dengan bantuan bidan. Bila ada komplikasi timbul masalah sehingga membawa kepada kematian," katanya.

Bagaimanapun Yunizam turut berkongsi kisah sedih dua anak wanita yang meninggal dunia itu.

"Bila saya tanya anak kedua arwah mana mamamu, dia jawab sedang tidur pakcik. Perasaan saya waktu tu sukar nak diungkapkan dengan kata-kata. Tiba-tiba air mata saya mengalir.

Jenazah siap sedia untuk dibawa ke kawasan perkuburan bagi urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Orang Islam, Jalan Aman, Sandakan.

"Dia macam tak ada perasaan... ya lah budak-budak umur pun baharu nak masuk tiga tahun. Mungkin dia fikir mama dia memang tidur betul-betul.

"Kebetulan saya pun baru je balik dari rumah mereka tadi (Jumaat) hantar barang keperluan baby dan barangan dapur sikit. Saya tengok si abang pula cari mama dia. Bapa dia beritahu dia nangis semalam," katanya.

Kisah tersebut dikongsi Yunizam di Facebooknya sehingga mendapat perhatian ramai.

Rata-rata meluahkan simpati terhadap keluarga itu dan berterima kasih di atas keprihatinan Yunizam.

Mengenai perkongsian itu, Yunizam berkata dia kerap berkongsi pengalamannya semasa menguruskan kes kematian yang dikendalikannya.

"Ada mesej yang ingin saya sampaikan dalam setiap posting saya. Sebenarnya masih ramai lagi yang susah di luar sana. Jadi kita patut bersyukur yang apa yang kita ada hari ini," katanya.

Artikel Lain