“Tak tahu apa masalah dia” - Suami bertumbuk di plaza tol, isteri dedah kisah awal insiden... akhirnya 2 pemandu naik mahkamah - Viral | mStar

“Tak tahu apa masalah dia” - Suami bertumbuk di plaza tol, isteri dedah kisah awal insiden... akhirnya 2 pemandu naik mahkamah

Tular video adegan provokasi di jalan raya sehingga mencetuskan pergaduhan di plaza tol.

"KAMI selalu berdepan dengan pembuli jalan raya, tetapi inilah yang paling teruk dan menyusahkan," kongsi Yusmarlis Adrin Anas.

Menurut wanita berusia 32 tahun itu, dia bersama suaminya, Mohamad Fazrien Mohd Ziear dan dua anaknya sedang dalam perjalanan ke Damansara apabila berlaku insiden provokasi dengan sebuah kereta lain sehingga mencetuskan pergaduhan, dalam kejadian di Plaza Tol Bukit Kiara, pada Selasa.

Jelas Yusmarlis, gara-gara insiden ini, suaminya terpaksa dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan bergaduh di tempat awam.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki lempang pemandu wanita dibebaskan, “Cukuplah empat malam dalam lokap, pengajaran kepada semua”

ARTIKEL BERKAITAN: Tanya soalan buat pemandu Grab 'naik hantu' tumbuk, ludah wanita warga emas... "Sampai hati dia pukul syurga saya"

"Saya tidak tahu apa masalah pemandu itu. Pada mulanya suami memandu di laluan paling kanan dan apabila menyedari ada kereta laju di belakang, dia cuba mengubah ke laluan kiri.

"Dan ketika itu kenderaan itu tiba-tiba memotong dari arah kiri dan berada dekat kereta kami. Saya memang tidak tahu apa masalah dia yang memandu secara tidak selamat.

Kecederaan yang dialami Fazrien akibat bergaduh dalam insiden tersebut.

"Sampai di depan tol, suami berhentikan kenderaan dan dia mula menyerang suami. Memang ada pergelutan di situ dan suami cuba mempertahankan diri.

"Kalau lihat dalam rakaman video, suami saya cuba untuk berhenti bergaduh," jelasnya kepada mStar.

Jelasnya selepas insiden itu dia terus membuat laporan polis.

"Pada mulanya kami buat laporan dan pegawai polis pesan jangan kongsi video rakaman di laman media sosial kerana kes dalam siasatan.

"Keesokannya (Selasa) video itu sudah jadi viral. Viral itu bukan dari pihak kami. Jadi memandangkan kes dah viral, polis terus memanggil pemandu itu memintanya membuat laporan seterusnya dia dan suami dihadapkan ke mahkamah pada Jumaat (esok).

Saya mahu tegaskan jangan timbulkan isu mengenai rasis kerana sebelum ini ramai pembuli jalan raya tak kira bangsa. Mungkin nasib saya kali ini agak tidak baik kerana dibuli seperti ini.

YUSMARLIS ADRIN ANAS

Mangsa buli jalan raya

"Memang situasi ini amat memenatkan kami. Kami bukan mahu memanjangkan cerita, tetapi bila dah jadi macam ni, terpaksalah terima.

"Gara-gara insiden itu juga, anak sulung saya yang berusia 4 tahun mengalami kecederaan akibat terhantuk di bahagian kerusi walaupun memakai tali pinggang keledar kerana ketika itu dia berada di tempat duduk belakang," tambahnya yang tinggal di Rawang.

Dalam pada itu, Yusmarlis berterima kasih kerana rata-rata yang menonton video tersebut tahu apa yang sebenarnya berlaku.

"Ada yang mengecam ada yang menyokong. Tetapi saya mahu tegaskan jangan timbulkan isu mengenai rasis kerana sebelum ini ramai pembuli jalan raya tak kira bangsa. Mungkin nasib saya kali ini agak tidak baik kerana dibuli seperti ini.

Kedua-dua pemandu ini bakal dihadapkan ke mahkamah, Jumaat.

"Sesiapa sahaja yang berada dalam situasi kami, mestilah marah kerana ia melibatkan nyawa kami terutamanya anak kecil.

"Saya harap kes ini biarlah diselesaikan secara adil," katanya.

pembuli , jalan raya , gaduh , tumbuk

Artikel Lain