Dari pentas AF bergelar DJ kahwin, klon Ziana Zain bangga ada dua suara walau dikutuk ‘kepit’ - “Saya lelaki normal” - Viral | mStar

Dari pentas AF bergelar DJ kahwin, klon Ziana Zain bangga ada dua suara walau dikutuk ‘kepit’ - “Saya lelaki normal”

Syhid selesa bergelar DJ Kahwin sejak 2014.

GELAGAT seorang pemuda menyanyikan lagu Putus Terpaksa persis suara penyanyi popular, Ziana Zain dalam sebuah majlis kahwin baru-baru ini berjaya mencuri tumpuan netizen.

Video perkongsian seorang pelayar Twitter yang memaparkan gelagat pemuda tersebut meraih hampir 350,000 tontonan.

Bukan itu saja, posting dengan kapsyen 'Aku se-confuse pakcik belakang tu' turut menerima 26,500 ulang kicau dan 15,300 tanda suka.

Rata-rata netizen tertanya-tanya dan ingin tahu identiti pemuda berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Riuh sekampung, business partner sampai pengsan dengar berita kematian rakan... kasihan DJ Aiman dikecam selepas jadi ‘arwah’

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai meremang dengar suara ‘Yuna versi Form 2’! Mak ayah pun terkejut, anak diam-diam dah ada lagu sendiri

Pemuda tular itu, Khairul Mohd Syhid Abu Hassan sebenarnya telah menawarkan perkhidmatan deejay majlis kahwin sejak 2014 lagi.

DJ Syhid (kanan) merupakan bekas peserta AF 2015.

Khairul Mohd Syhid atau lebih mesra disapa DJ Syhid menjelaskan, dia sebenarnya berkebolehan melontarkan dua suara.

"Sebenarnya saya banyak menyanyi dan dari situ saya belajar tone suara lelaki dan suara perempuan. Sebenarnya itu lebih kepada teknik pernafasan.

"Bila banyak belajar secara spontan kebolehan tu dah ada. Lagipun saya memang peminat Ziana Zain. Jadi saya gunakan peluang itu untuk jadi DJ," katanya kepada mStar.

Mereka komen cakap saya ni lembut macam Sajat lah. Saya juga dikutuk depan-depan... 'ala ni suara kepit ni'. Pemikiran manusia lain-lain, jadi mereka akan judge berdasarkan benda macam ni.

KHAIRUL MOHD SYHID ABU HASSAN.

DJ kahwin.

Mengulas mengenai video viral itu, bekas peserta Akademi Fantasia 2015 itu berkata dia tidak menyedari gelagatnya menyanyikan lagu penyanyi yang diminatinya itu dirakam tetamu yang hadir pada majlis perkahwinan kliennya di Taman Garuda Gangsa, Melaka.

"Saya tak terfikir show saya tu diviralkan. Ramai tak percaya tu suara saya. Ada yang tanya ni ke suara engkau Syhid? Hakikatnya itu memang suara saya.

"Apa yang saya boleh kata itu kerja Allah. Allah bagi kelebihan kepada saya, jadi saya cuba gunakan anugerah itu dengan cara baik," katanya yang berminat menjadi DJ sejak berusia 10 tahun.

Sejak videonya tular, perkhidmatannya mendapat sambutan ramai.

Walaupun ramai memuji kebolehannya, DJ Syhid mendedahkan dia turut dikritik kerana meniru suara wanita.

"Mereka komen cakap saya ni lembut macam Sajat lah. Saya juga dikutuk depan-depan... 'ala ni suara kepit ni'. Pemikiran manusia lain-lain, jadi mereka akan judge berdasarkan benda macam ni.

"Tapi saya tak ambil peduli. Hakikatnya saya lelaki normal. Saya gunakan kelebihan ini untuk membantu mereka yang memerlukan," katanya yang turut mendermakan 25 peratus daripada bayarannya kepada pusat zakat.

Meskipun dia merupakan bekas peserta Akademi Fantasi 2015, bapa kepada tiga anak itu mengakui tidak malu bergelar DJ kahwin.

"Saya tak nampak lagi peluang dan ruang kepada saya untuk ikut jejak rakan lain jadi artis. Lagipun sebelum masuk AF saya jadi DJ dekat Taman Buaya & Rekreasi Melaka.

DJ Syhid sewaktu membuat persembahan pada konsert AF.

"Saya selesa dengan kerjaya saya ketika ini. Alhamdulillah saya dah terima booking sampai 2020 lepas video nyanyian saya viral. Ada juga yang saya terpaksa tolak sebab kekangan masa," katanya.

Ditanya mengenai kelebihannya itu, DJ Syhid berkongsi kisah lucu dia melakukan prank kepada arwah ibunya.

"Saya selalu call arwah mak dengan menyamar suara perempuan. Saya sebenarnya suka menyakat arwah mak dan adik-beradik saya buat suara mak cik... mak cik.

"Mereka tak perasan siap melayan apa yang saya minta mereka buat. Padahal saya buat panggilan tu dalam rumah. Itulah kenangan dengan arwah mak yang saya takkan lupa," katanya.

DJ Syhid , DJ kahwin , Ziana Zain , tiru suara

Artikel Lain