Diuji kanser tahap 4, pesara polis Singh ini tak pernah gagal tabik hormat Jalur Gemilang, “Hingga hari ini bila dengar Negaraku, ayah akan bangun”

Charan Singh yang dahulunya merupakan polis hutan akan sentiasa tabik hormat ketika menjelang tanggal 31 Ogos.

BULAN Ogos adalah bulan kemerdekaan untuk negara Malaysia dan kebiasaannya ia disambut dengan gilang-gemilang.

Di sebalik kemeriahan sambutan merdeka negara, sebahagian perajurit negara masih terkenang peristiwa zaman tanah air dijajah dan melalui detik pahit akibat ancaman komunis.

Khushwant Singh atau mesra dipanggil Khushwant berkongsi kisah pengalaman bapanya sebagai seorang anggota pasukan polis hutan ketika dihubungi mStar.

Bapa Khuswant, Charan Singh mula berkhidmat dalam pasukan polis hutan di Ulu Kinta bermula pada tahun 1965 hingga 1987.

Charan Singh telah berkhidmat dalam pasukan polis selama lebih 30 tahun sejak 1965.

"Ayah saya sebenarnya dah jadi polis hutan sejak umurnya 17 tahun dan dia betul-betul cintakan negara.

"Setiap tahun pada bulan Ogos, dia mesti akan naikkan bendera Malaysia dan bagi tabik hormat kepada bendera kerana dia sendiri bersama pasukannya bergerak seperti satu keluarga berjuang menyelamatkan negara.

"Dia pernah cerita ketika zaman komunis, dia melihat kawannya sendiri ditembak dan dibunuh dengan kejam oleh pengganas komunis di depan mata.

"Dulunya ketika bertugas di dalam hutan, mereka terpaksa berlapar dan hanya makan buah, kadang-kadang makan nasi dengan kicap sahaja," ujarnya yang kini menetap di Shah Alam, Selangor.

Charan Singh bersama pasukannya bergerak seperti satu keluarga berjuang menyelamatkan negara.

Bertugas sebagai seorang perajurit bukanlah mudah bagi Charan Singh, namun taat setianya kepada negara membuatkan dia sanggup menggadai nyawa demi keamanan Malaysia.

Bagi pesara polis berpangkat koperal yang berkhidmat lebih 30 tahun dalam pasukan keselamatan ini, Malaysia adalah segala-galanya dan baginya inilah 'tanah tumpahnya darahku'.

Khushwant bangga dengan pengorbanan bapanya yang sanggup bergadai nyawa menjaga keamanan negara.

Khushwant,45, turut memberitahu bapanya yang kini berusia 73 tahun pernah bertugas menjaga sempadan Malaysia-Thailand dan melibatkan diri dalam polis marin  selama setahun sejak 1988 sebelum menyambung khidmat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 1990 hingga bersara pada 1995.

Malahan, ketika bapanya bertugas sebagai anggota polis hutan, Khushwant sekeluarga berpeluang menetap bersama kaum lain di berek Pasukan Polis Hutan (PPH), Ulu Kinta, Perak dan Alor Setar, Kedah.

Bagi Khushwant, suasana kejiranan di berek sangat harmoni di mana mereka sentiasa tolong menolong di antara satu sama lain walaupun berlainan kaum.

Charan Singh dan isteri, Pritam Kaur (belah kiri gambar) bersama Khushwant Singh dan isteri (tengah), adiknya Avnash Singh dan isteri (berserban biru,kanan) serta sepupu (hadapan kanan).

"Ketika kecil, kami jarang tengok ayah ada di rumah sebab dia pergi bertugas pada tengah malam dan ia berlarutan selama tiga hingga empat bulan demi tugasnya.

"Di berek, kami hidup dengan pelbagai kaum dan jiran-jiran sentiasa tolong ibu saya jika perlukan bantuan sebab ayah sentiasa masuk hutan.

"Tetapi bila tengok pelbagai isu perkauman yang berlaku dua tiga bulan ini, ayah ada luahkan perasaan sedih sebab dahulunya kami hidup di berek beramai-ramai seperti satu keluarga walaupun berlainan kaum," katanya yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik.

Isu perkauman yang melanda ketika ini ternyata memberi kesan kepada pejuang tanah air yang sudah berhempas pulas menjaga keamanan negara.

Bapanya juga berpesan, selepas pertumpaan darah ketika zaman penjajah dan komunis dahulu, seharusnya rakyat Malaysia tidak melupakan anggota keselamatan berbilang kaum yang berkhidmat mempertahankan keamanan negara selama ini.

"Sesiapa yang ungkitkan isu perkauman perlu ditegur dan diberi penjelasan sewajarnya berkaitan sejarah negara," katanya sambil menambah ayahnya hingga saat ini akan bangun setiap kali berkumandang lagu Negara Ku.

Dalam pada itu, setiap tibanya 31 Ogos, nenek kepada Khushwant akan menyediakan manisan yang dinamakan Kheer sempena menyambut hari kemerdekaan.

"Nenek saya belah ibu akan buat manisan Kheer yang diperbuat daripada nasi, susu dan gula.

"Memandangkan nenek saya pernah merasai zaman penjajahan Jepun, dia selalu terkenang kesusahan pada zaman dahulu.. jadi dia pun buat manisan tersebut dan merupakan antara menu wajib kami sekeluarga pada hari kemerdekaan," katanya.

Kini, pada usianya yang lanjut ditambah penyakit kanser tulang tahap 4 yang dihidapinya, pesara polis itu masih bersemangat setiap kali bercerita mengenai pengalaman lampaunya dalam pasukan keselamatan.

Tambah membanggakan anak-anaknya, Charan akan bangun setiap kali terdengar lagu Negaraku, selain gigih mengibarkan Jalur Gemilang setiap tahun menjelang sambutan tarikh keramat 31 Ogos.




Artikel Berkaitan

Klik

Ketahui 7 cara mudah sediakan makanan di rumah

SEBENARNYA tak susah untuk menaik taraf ruang peribadi anda terutamanya dapur bagi memudahkan dan melancarkan hari-hari anda di rumah.

Covid-19 bukan sekadar pandemik, buktikan kepentingan dunia digital... dorong MYNIC lebih rancak bantu bisnes online

MYNIC menawarkan program latihan pemasaran digital, dengan membawa perniagaan luar talian ke dalam talian dan seterusnya menghadapi pasaran ekonomi digital global.

Berkongsi rezeki... itulah maksud di sebalik amalan membayar cukai

HARI ini, Malaysia dilanda krisis pandemik Covid-19 yang telah memberi banyak kesan kepada semua lapisan masyarakat.

Duka Covid-19 seakan terubat, TNB sinari hidup golongan memerlukan, agih zakat cecah RM4.36 juta

TNB tampil dengan inisiatif perkongsian rezeki melalui pengagihan wang wakalah zakatnya ke seluruh pelusuk tanah air.

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Artikel Lain