suria

Setuju nak beli, nak membayar banyak helahnya! Penjual handphone dedah perangkap scammer, “Dulu ABC, kini sistem pemindahan berjadual”

Pelanggan lelaki yang ipercayai cuba menipu dalam urusan pembelian sebuah telefon bimbit.

KAKI penipu atau ‘scammer’ memang mempunyai otak geliga dan 1001 alasan.

Saban hari kita sendiri dihidangkan dengan pelbagai jenis scammer yang mengaut beribu-ribu ringgit, hasil ayat manis atau kelicikan mereka.

Terbaharu, seorang lelaki nyaris 'masuk perangkap' seorang pelanggan yang ingin membeli telefon bimbit yang dijualnya.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Gigit jari’ telefon lesap, pemuda dedah bagaimana kena game dengan penipu duit palsu, “Datang lambat... isteri bertudung, nampak macam orang berduit”

ARTIKEL BERKAITAN: “Akaun penipu ditutup dalam masa 24 jam” - Shopee berterima kasih pelanggan bongkar penipuan

Bambang Sunario, 29, yang merupakan penjual dan menyediakan perkhidmatan membaiki telefon bimbit berkongsi taktik terbaharu scammer yang menyamar sebagai pembeli.

“Saya memang selalu memaparkan iklan menjual telefon bimbit secara atas talian. Tiga hari lepas, kawan saya di Johor mahu menjual telefonnya dan saya tolong iklankan di laman Carousell.

Bambang amat berhati-hati dengan pembeli yang melakukan pemindahan wang.

“Pada sebelah malamnya ada seorang lelaki menghubungi saya ingin membeli telefon bimbit tu, iPhone 10 XMax. Saya terus beritahu kawan saya tu dan mereka berrtemu kira-kira pukul 11 malam.

“Pelanggan lelaki itu memeriksa semua telefon itu dan bersetuju membelinya,” ujar Bambang.

Bambang atau lebih dikenali dengan Bam berkata, ‘bau’ penipuan lelaki itu dapat dihidu apabila pelbagai alasan diberi ketika rakannya meminta bayaran sebanyak RM4,450.

Pada mulanya, pembeli tersebut mahu buat pemindahan terus secara dalam talian ke akaun kawannya atas alasan tidak bawa wang tunai, tetapi pada masa itu jam sudah menunjukkan pukul 12 lebih (awal pagi) yang mana sistem perbankan tergendala seketika.

Taktik pemindahan berjadual memang banyak digunakan. Kalau jenis orang yang tak peka, memang akan terkena dengan scammer.


BAMBANG SUNARIO

Penjual / Servis Telefon Bimbit


“Jadi kawan saya cakap boleh pakai kad sebab dia memang ada menyediakan mesin elektronik untuk debit atau kad kredit.

“Tetapi pelanggan itu cakap semua kad isteri dia pegang... kawan saya tak serahkan telefon itu sebab pembayaran belum diterima dan dia pun balik," katanya

Menurut Bam, beberapa jam selepas itu kawannya itu menghubunginya, memaklumkan bahawa pelanggan itu sudah membuat pemindahan duit.

“Dia tunjuk resit pemindahan sudah ‘approved’ (diluluskan). Bila saya suruh dia periksa akaun, memang wang itu tak ada,” ujarnya.

Jelas Bam, dia percaya lelaki tersebut menggunakan kaedah pemindahan berjadual, taktik terbaharu digunakan scammer untuk menipu, terutamanya peniaga.

Selain beroperasi di atas talian, Bambang juga menyediakan perkhidmatan membaiki telefon bimbit di kedainya di Jalan Klang Lama.

“Mereka set tarikh dan masa pemindahan duit, bila tekan 'submit' ia akan keluar perkataan ‘approved’.

“Sebenarnya kalau betul pemindahan wang itu berjaya, ia akan keluar perkataan ‘successful’ (berjaya).

“Taktik ini memang banyak digunakan. Kalau jenis orang yang tidak peka, memang terkena dengan scammer ini. Mujur kawan saya itu seorang yang berhati-hati,” katanya.

Jelas Bam, sejak mula menjalankan perniagaan telefon bimbit, pelbagai kerenah pelanggan yang ditemuinya termasuklah dalam bab menipu.

“Sebelum ini taktik ‘ABC’ digunakan. Taktik ini memang sukar dikesan kalau tidak berjaga-jaga. 

“Scammer tu menyamar sebagai penjual menggunakan maklumat saya, termasuklah barang jualan, nama dan nombor akaun yang saya guna untuk urusan jual beli. Apabila pelanggan sebenar membuat pemindahan wang ke akaun tersebut, scammer yang sama menghubungi saya, beritahu tak jadi nak beli telefon dan minta pulangkan duitnya.

“Dia terus beri nombor akaunnya. Saya sebagai peniaga perlu memulangkan wang kepada pelanggan jika urusan pembelian dibatalkan.

Netizen turut mendedahkan pernah terkena dengan pembeli yang sama.

“Selepas membuat pemindahan wang kepada lelaki yang menyamar pelanggan itu, baru saya sedar rupa-rupanya dia adalah scammer.

“Jadi dalam kes seperti ini, scammer pembeli sebenar menanggung kerugian.

"Saya sebagai penjual tidak rugi apa-apa cuma, nama sahaja yang buruk,” katanya.

Tambah Bam, dia telah membuat laporan polis megenai scammer yang dikenal pasti itu.

“Biasalah kalau benda-benda kecil ini pihak berkuasa memang susah nak ambil tindakan.

“Jadi untuk selamat, saya sebagai peniaga perlu lebih berhati-hati dalam membuat urusan bersama pelanggan. 

“Apa yang pasti scammer ini ada di mana-mana dan pelbagai taktik yang akan digunakan untuk menipu duit orang,” tambahnya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Scammer, jual telefon

Artikel Lain