suria

Lelaki kerja freelance naik pelamin selepas lupakan kad ATM, kumpul RM18k setahun, “Isteri dah tak perlu jadi tukang jahit”

Luqman dan Nur Syafiqah diijab kabul pada 21 Disember tahun lalu.

UMUM mengetahui kehidupan di Kuala Lumpur dengan gaji di bawah RM1,500 pasti sukar, lebih-lebih lagi bagi mereka yang mahu mengumpul wang untuk mendirikan 'masjid'.

Apatah lagi jika hanya bekerja freelance (bebas) yang gajinya tidak menentu.

Namun bagi Luqman Afifi Abdul Rahman, segalanya tidak mustahil apabila dia berjaya mengumpul RM18,000 dalam tempoh setahun.

Jelas pemuda berusia 24 tahun itu, sepanjang tempoh tersebut dia terpaksa ikat perut demi memastikan hasratnya untuk berkahwin dengan pilihan hatinya, Nur Syafiqah Khalel terlaksana.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tengok dia tiba-tiba jadi suka” - Nak kahwin cepat, gadis beritahu bakal suami ‘tak mahu hantaran’, sama-sama kumpul duit buat majlis

ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan 'takut nak kahwin' akhirnya gembira, berjaya buat majlis walau kos murah!

"Saya sebenarnya seorang freelance editor. Gaji freelance ni tak tetap ibarat macam berniaga. Gaji RM1,400 tu secara kasar saya dapat setiap bulan tapi kadang ada dapat RM1,000 dan RM800 sebulan. Memang saya struggle waktu tu. Saya tolak jauh hiburan atau melepak yang boleh buat duit habis macam air paip bocor.

Luqman dan Nur Syafiqah bersama keluarga pengantin lelaki.

"Saya juga terpaksa tebalkan muka post dekat grup komuniti dan grup freelance di Facebook, kiranya saya meraih job. Lepas tu saya contact juga member lama tanya kalau mereka ada job kosong untuk saya.

"Saya tak memilih job. Job editing RM200 pun saya ambil. Paling murah saya pernah dapat RM50... job final project student U. Walaupun tak berbaloi saya anggap itu rezeki," katanya kepada mStar.

Luqman berkata dia juga memilih untuk menyewa bersama lapan rakannya yang lain dan masak sendiri di rumah.

"Bila duduk ramai-ramai kos sewa bulanan lagi sikit. Tolak tepi soal keselesaan tapi saya ok je. Saya dan kawan-kawan serumah kongsi duit dapur RM10 seorang. Jadi dapat RM90 kiranya lauk untuk orang bujang tu banyaklah.

"Bila fikir balik kalau makan dekat luar kami tetap makan nasi bujang (nasi putih dan telur). Sekurang-kurangnya RM90 bolehlah cover sebulan duit makan dekat rumah tapi lauk ayam lagi ok dari nasi bujang. Kawan-kawan pun tak kisah," katanya.

Ditanya mengenai tips cara dia menyimpan duit simpanannya, Luqman berkata disiplin menjadi keutamaannya.

Pasangan ini memilih untuk mengadakan majlis perkahwinan secara sederhana.

"Kalau nak kumpul duit kena berdisiplin. Kalau tak ada disiplin akhirnya apa yang kita nak tak dapat. Jadi disiplin kena power.

"Dulu untuk duit simpanan saya buat dua akaun bank, satu untuk belanja dan satu lagi untuk simpanan. Untuk bank simpanan saya tinggal kad ATM kat kampung.

"Bila dapat payment saya akan ambil 20 peratus sahaja untuk duit belanja dan selebihnya saya masukkan dalam bank yang kad ATM saya tinggalkan kat kampung," katanya.

Kalau ikutkan lepas nikah saya nak suruh dia jadi tukang jahit dekat KL sebab sebelum ni pun dia menjahit dekat kampung. Tapi tak sangka dapat rezeki tak diduga, begitu indahnya aturan Allah.

LUQMAN AFIFI ABDUL RAHMAN

Freelance Editor

Di sebalik kegigihannya itu, ada segelintir netizen yang mengecam perkongsian tersebut kerana dianggap tidak logik.

Namun Luqman enggan ambil pusing kecaman tersebut kerana percaya dengan rezeki yang Allah berikan.

"Ada yang kecam tapi saya dah beritahu dalam thread dari awal, saya sebenarnya dapat dua job besar edit dokumentari sebelum saya balik nikah bulan November dan Disember.

Luqman sentiasa percaya pada rezeki yang Allah berikan.

"Total dua job tu dapatlah dalam RM4,000 ke RM5,000. Jadi kalau tolak dua job tu saya dapat kumpul dalam RM14,000 sahaja. Alhamdulillah parents cakap rezeki nak kahwin," katanya.

Menurut pemuda dari Alor Setar, Kedah ini, dia bersyukur kerana dikurnia pasangan hidup yang memahami dirinya.

"Macam kenduri buat belah perempuan sahaja. Alhamdulillah wife dan family dia ok. Mereka cakap buat yang mana mampu tak payah letup-letup.

"Nak buat besar-besar membazir sebab banyak lagi duit nak guna selepas itu. Tapi dalam RM18,000 tu saya dan isteri dah simpan siap-siap RM3,000 untuk kegunaan lepas kahwin," katanya.

Dalam pada itu Luqman turut menasihati anak muda yang ingin mendirikan rumah tangga supaya percaya kepada rezeki Allah.

"Kita kena percaya pada rezeki. Insya-Allah kalau niat kita hendak berkahwin Allah akan permudahkan. Ini berdasarkan pengalaman saya sendiri. Beberapa hari nak akad nikah wife saya dapat call daripada SPA (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam) beritahu dia dapat kerja di Putrajaya.


Pengantin bersama keluarga sebelah perempuan.

"Kalau ikutkan lepas nikah saya nak suruh dia jadi tukang jahit dekat KL sebab sebelum ni pun dia menjahit dekat kampung. Tapi tak sangka dapat rezeki tak diduga, begitu indahnya aturan Allah," katanya.

Perkongsian Luqman mengenai duit simpanan kahwinnya di Twitter mendapat 15,700 ulang kicau dan 16,900 tanda suka.

Rata-rata memuji usahanya yang menyimpan duit secara konsisten.

Luqman berkata dia tidak menjangka perkongsiannya itu menjadi tular kerana dia hanya ingin berkongsi tip tersebut dengan rakan-rakannya sahaja.

"Saya memang tak expect sebab saya lama tak main Twitter. Saya buat thread tu pun sebab ramai kawan tanya cara saya simpan duit untuk kahwin.

"Mula-mula tu cuak juga sebab makin lama makin ramai yang retweet. Walaupun ada segelintir yang kecam tapi lebih ramai yang menerima... Alhamdulillah," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!