suria

“Maaf, aunty lambat... tak sangka begitu cepat kau pergi” - Cheese cake terlewat! Hasrat ‘jiran’ katil hospital sambut birthday ibu tak kesampaian

Foto meruntun hati yang disertakan bersama posting Chie Chiey di Facebook ternyata meruntun hati netizen.

BAGAIMANA mungkin saya tidak terkesan dengan pemergiannya? Demikian kata seorang wanita berhubung kematian seorang remaja perempuan yang menjadi 'jiran'nya ketika dia dimasukkan ke hospital, hujung Julai lalu.

Hanya dikenali sebagai Chie Chiey, dia berkongsi kisah pilu mengenai hasrat tidak kesampaian Siti Nurfadzilah, yang dipanggil 'adik' sehingga menjadi tular di Facebook.

Selain pengalaman sepanjang empat malam bersama-sama di dalam wad, kisah Chie Chiey yang tidak sempat memberi kek keju (cheese cake) yang diminta gadis itu juga cukup meruntun hati.

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu mewah, kehidupan 3 anak bekas staf pelantar minyak kini daif kerana satu sebab, “Adik pernah tanya kenapa kita dah tak kaya?”

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor ini rasa bersalah abaikan famili, insiden terkejut terserempak ibu di unit kecemasan jadi iktibar... "Kau sibuk kerja, tak mau kau risau"

"Gadis berbadan kecil, berumur 13 tahun. Dijaga oleh mummynya. Dia warded awal sikit dari saya. Empat malam tu juga saya dengar dia menangis, meraung malam-malam dan Subuh bila kena cucuk jarum ambil darah.

"Kadang doktor tidak jumpa urat yang boleh dapat darah. Cucuk sampai empat kali baru dapat. Setiap hari dua kali kena ambil darah.

Gadis itu meninggal dunia pada Sabtu lalu.

"Dia cuma sakit perut. Tapi daripada CT scan doktor cakap appendix bengkak. Saya curi-curi dengar kalau doktor pakar datang. Gadis ni tidak selera makan, jadi risau juga kalau dia tidak makan," tulis Chie Chiey.

Sehubungan itu, Chie Chiey atas inisiatif sendiri meminta suaminya agar membeli hidangan KFC buat gadis berkenaan.

Kata Chie Chiey lagi, dia juga terlihat ibu kepada remaja berkenaan mengira duit siling dan membatalkan hasrat untuk membeli makanan, sekali gus memberi gambaran mengenai kesusahan hidup mereka.

Saya meraung... Tidak percaya... Allah... Lemah tulang tulang saya. Saya tidak dapat tahan sebak. Adik, adik... Maaf adik, aunty lambat. Aunty tidak sangka begitu cepat kau pergi.

CHIE CHIEY

Mujurlah suami kepada Chie Chiey ada menghulurkan sedikit sumbangan buat wanita itu, membolehkan dia membeli sedikit makanan untuk anaknya.

Menurut Chie Chiey, dia sempat bertukar nombor telefon pada hari dia dibenarkan keluar hospital dan turut berjanji untuk datang melawatnya lagi.

Chie Chiey hadir menziarahi keluarga gadis itu di Ranau.

"Saya cuma dapat melawat dia pada 2 Ogos (Jumaat lalu) sebab saya pun baru juga keluar wad. Walaupun jalan macam siput saya gagahi juga. Sambil hantar bekalan nyawa mummynya. Mummynya makan sirih, pinang, monginggat bah. Dia kehabisan bekalan.

"Saya ada belikan dia bubur McD, saya cuba suap dia tapi dia tidak mau. Dia cakap tidak ada selera.

"Saya merayu lagi, adik kesian tau aunty bawa makanan ko tidak makan. Tapi tidaklah saya paksa. Saya pesan adik, kalau adik mau cepat keluar dari sini adik kena makan supaya adik kuat," Chie Chiey memujuk gadis itu.

Tambah Chie Chiey, gadis itu ada memberitahu bahawa dia gembira dengan kehadirannya dan turut meminta agar dia menghantarnya pulang ke Ranau setelah dia kembali sihat nanti.

Turut dikongsikan, Chie Chiey ada mendengar perbualan pakar nutrisi hospital itu dengan ibu gadis berkenaan yang memaklumkan dia kekurangan zat.

Ibunya turut mendedahkan dia suka makan nasi bersama garam dan mee segera mentah.

Chie Chiey mengakui terkilan kerana tidak sempat menunaikan permintaan terakhir gadis itu.

Menurutnya lagi, remaja itu juga ada meminta Chie Chiey agar membeli kek hari jadi untuk ibunya.

Hari berikutnya pada Sabtu (3 Ogos), Chie Chiey membeli pizza dan kek seperti mana yang diminta gadis itu.

Sewaktu dia menghubungi ibu kepada remaja berkenaan kira-kira jam 11 pagi, dia sama sekali tidak menyangka menerima perkhabaran bahawa gadis itu sudah meninggal dunia.

"Saya meraung... Tidak percaya... Allah... Lemah tulang-tulang saya. Saya tidak dapat tahan sebak. Adik, adik... Maaf adik, aunty lambat. Aunty tidak sangka begitu cepat kau pergi.

Antara komen netizen berhubung perkongsian kisah itu.

"Menurut mummynya, dia hembuskan nafas jam 8.04 minit pagi. Saya tunaikan juga janji hantar kau adik. Doakan kami agar dipermudahkan urusan kami mencari Kampung Lipasu Lama, Ranau," tulis Chie Chiey lagi, merujuk lokasi pengebumian gadis berkenaan.

Dalam pada itu, rata-rata netizen turut meluahkan rasa sayu mereka menerusi ruangan komen posting berkenaan.

Malah, ramai yang mengakui air mata mereka laju mengalir tatkala membaca kisah mengenai gadis itu.

Sehingga kini, kisah berkenaan sudah dikongsi lebih 8,100 kali oleh pelayar Facebook.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain