Dukacita! Harimau gempar masuk kampung disahkan mati - Viral | mStar

Dukacita! Harimau gempar masuk kampung disahkan mati

Penduduk Kampung Besul, Bukit Besi di Dungun, Terengganu, pada 18 Julai lalu digemparkan dengan kehadiran seekor harimau.

KISAH seekor harimau yang berkeliaran di sekitar Kampung Besul Lama, Bukit Besi di Dungun, Terengganu pada 18 Julai lalu, hingga menggemparkan penduduk, disahkan mati pada awal pagi Selasa.

Jabatan Perhilitan dalam satu kenyataan, petang Selasa berkata, harimau yang dikenali sebagai ‘Awang Besul’ itu disahkan mati pada pukul 5.30 pagi Selasa, di Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) di Sungkai, Perak.

Jelasnya, kematian harimau itu akibat penyakit Canine Distemper, yang disebabkan oleh virus yang mudah menyerang haiwan domestik iaitu anjing atau hidupan liar lain termasuk spesies harimau.

“Setelah pelbagai usaha intensif untuk merawat dan menyelamatkan ‘Awang Besul’ dijalankan, dukacita dimaklumkan ‘Awang Besul’ telah disahkan mati di NWRC, dan bedah siasat akan dijalankan secepat mungkin.

“Jika penyakit ini terkena pada harimau ia akan menunjukkan tingkah laku tidak takut kepada manusia dan kebarangkalian harimau untuk sembuh adalah sangat tipis,” menurut kenyataan itu.

'Awang Besul' disahkan mati pada pagi Selasa.

Jabatan Perhilitan berkata, ia tidak menolak kemungkinan penyakit Canine Distemper yang dihadapi ‘Awang Besul’ disebarkan oleh haiwan liar di sekitar Kampung Besul lama di Dungun.

Pada 19 Julai lalu, Jabatan Perhilitan berjaya menangkap seekor harimau yang berkeliaran di sekitar Kampung Besul Lama, Bukit Besi.

Jabatan Perhilitan memberitahu, ia masih memantau kawasan tersebut dan memasang perangkap harimau bagi memastikan keselamatan penduduk.

“Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli menyeru orang ramai menyalurkan maklumat terus kepada Jabatan Perhilitan dengan menghubungi talian 1-800-88-5151 jika terserempak dengan harimau tersebut,” menurut kenyataan itu.

Jabatan Perhilitan berkata, pemeriksaan fizikal di lapangan pada 19 Julai lalu mengesan kecederaan pada bahagian kaki, keradangan mata harimau tersebut dan haiwan itu berada dalam keadaan dehidrasi.

Terdahulu, satu video berdurasi satu minit 25 saat tular dalam laman sosial menunjukkan seekor harimau sedang merayau-rayau di kawasan berkenaan.

Kehadiran harimau itu sempat dirakam penduduk dan pengguna jalan raya.

Artikel Lain