suria

Murid teruja sampai hilang fokus tengok lori sampah, cikgu taska terkedu lihat reaksi Wira Oren, “Mereka kata tangan busuk”

Murid-murid di Taska Nurul Ilmu diberi pendedahan tentang kepentingan nilai-nilai moral dengan memberi secawan air kepada pekerja MPSP.

TENAGA pengajar bertanggungjawab mendidik anak-anak murid untuk sentiasa mempunyai nilai-nilai moral dalam diri.

Walaupun usia masih muda, kanak-kanak perlu diberi pendedahan untuk lebih menghargai jasa-jasa wira yang tak didendang.

Ketika dihubungi mStar, Nur Syuhaida Ali atau mesra dengan panggilan Syuhaida, 42, berkongsi cara dia mendidik anak-anak muridnya di Taska Nurul Ilmu di Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan.

Caranya mudah sekali, memberi secawan minuman kepada pemungut sampah di kawasan taska berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Hina tukang sapu busuk, wanita dikecam “BF berpangkat katanya, tak kan dating kat pondok tepi tasik je?”

ARTIKEL BERKAITAN: Muka pucat duit RM2,000 tertinggal dalam troli... Jangankan terdetik nak ambil, pekerja Tesco kata “saya tak buka langsung”

ARTIKEL BERKAITAN: Graduan ini 'kebal' diperli, tak kisah jadi Mr Piky, biaya duit sekolah adik di kampung tetap cukup... janji kerja halal!

"Saya perasan sejak 2017, setiap kali waktu tengah mengajar, anak-anak murid jadi tak fokus bila lori sampah lalu depan taska.

"Mereka nampak teruja dan terus berlari ke sliding door jerit pak cik, terima kasih sambil melambai. Jadi saya pun beri peluang kepada mereka keluar duduk di tepi pagar untuk tengok lebih dekat.

"Melihat reaksi teruja mereka, tercetus satu idea untuk latih mereka beri air kepada pekerja yang datang pungut sampah di kawasan taska.

"Kebetulan pagi Isnin lepas, lori sampah lalu di depan taska jadi kami terus panggil untuk beri minuman kepada mereka," ujarnya yang menguruskan Taska Nurul Ilmu bersama adiknya, Nurul Shafiqah.

Anak murid Syuhaida beratur memberi minuman kepada beberapa orang pekerja MPSP.

Tambah Syuhaida, murid-murid dalam lingkungan usia satu hingga lima tahun itu kelihatan teruja ketika pertama kali memberi secawan air kepada pekerja perkhidmatan mengutip sampah itu yang sering ditunggu-tunggu mereka itu.

Keterujaan anak-anak muridnya membuatkan Syuhaida dan dua tenaga pengajar taska itu berhasrat meneruskan usaha itu sekurang-kurangnya sekali seminggu.

Anak-anak murid di taska yang mula beroperasi pada 2016 itu turut diberi pendedahan untuk lebih menghargai jasa dan menghormati pekerjaan orang lain.

Sementara itu, terdapat satu peristiwa membuatkan Syuhaida dan rakan lain terkedu dengan sikap pekerja-pekerja Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang lebih dikenali dengan gelaran Wira Oren itu.

Anak-anak kecil kelihatan teruja setiap kali lori sampah muncul di kawasan taska berkenaan.

"Masa minum tu, salah seorang daripada mereka cakap, "dik, belajar rajin ya... jangan jadi macam kami" membuatkan saya terkedu dan anak-anak murid pun terpinga-pinga sebab tak faham, saya terus jemput mereka minum.

"Memandangkan masa singkat je sebab pekerja MPSP kena sambung kerja, salah seorang anak murid ni teruja nak salam mereka tetapi dengan rendah diri mereka kata tangan busuk walaupun sebenarnya mereka pakai glove," kata anak jati Nibong Tebal itu.

Syuhaida (kiri) bersama adiknya, Nur Syafiqah Ali berusaha mendidik anak murid mereka untuk lebih menghargai pekerjaan orang lain.

Dalam pada itu, ibu kepada tiga cahaya mata itu turut memberitahu sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai pengajar untuk mendidik anak murid seramai 23 orang supaya mempunyai nilai moral yang tinggi.

"Bagi saya, pembelajaran di peringkat taska tidak sepatutnya terlalu mengongkong anak-anak murid dengan hanya melakukan aktiviti sama sahaja seperti melukis dan mewarna.

"Mereka perlu didedahkan dengan aktiviti-aktiviti di luar kotak dan harus diterapkan nilai-nilai moral supaya menjadi contoh kepada orang lain.

"Saya dan dua pengajar yang lain mendidik mereka mengikut fitrah yang mereka suka tetapi taklah terlalu bebas," katanya.

Selain itu, Syuhaida turut berkongsi beberapa gambar menunjukkan anak-anak muridnya memberi secawan minuman kepada pekerja-pekerja MPSP di laman Facebook miliknya pada 15 Julai lalu.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain