suria

Mana nak dapat bos macam ni? Mr Jet sanggup jual jam untuk Mirul balik raya

ORANG tua-tua selalu berpesan, mudah nak cari kawan ketika senang, tapi payah untuk lihat mereka di sisi ketika menimpa nasib malang.

Tidak semua orang sanggup bersusah payah bersama, namun realitinya masih wujud insan berhati mulia di dunia ini.

Pengalaman Amirul Izman Othman, 36, menyulam ikatan persahabatan bersama bosnya yang dikenali sebagai Mr Jet sejak 2013 membuktikan wang bukan segala-galanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bangun tidur, terus ajak kekasih balik kampung sebab nak peluk Islam... selepas 4 bulan, pemuda ini kejutkan rakan pula!

ARTIKEL BERKAITAN: Sampainya hati! Baru sehari peluk Islam, dah ada yang tipu mualaf, “Menangis bukan sebab duit tapi sebab nak al-Quran”

Biarpun berlainan bangsa, kedua-dua mereka akrab. Mr Jet sanggup menolong ketika Amirul susah dan mereka saling berhubung sehinggalah bosnya itu menyatakan hasrat untuk memeluk Islam.

Menurut Amirul Izman atau lebih mesra disapa Mirul, dia mengenali Mr Jet ketika bekerja di sebuah syarikat menyediakan burger.

"Dia adalah majikan saya. Namun selepas dua tahun, perniagaan semakin merosot sehingga ramai pekerja lain berhenti kerja.

Mirul mengakui bekas majikannya itu seorang yang suka membantu orang lain.

"Hanya saya sahaja yang tinggal bekerja di bawahnya walaupun ketika itu dia menyuruh saya mencari pekerjaan lain, tetapi saya tetap membantunya.

"Dia ada cakap sudah tak cukup wang untuk bayar gaji, tetapi saya tetap bertahan. Dia seorang bos yang baik sepanjang saya bekerja di situ," katanya.

Paling menyentuh hati, Mr Jet sanggup menjual jam tangannya untuk membayar gaji Mirul yang ketika itu sudah hampir hari raya.

"Ada satu tahap tu dia sanggup jual jam tangannya untuk bayar gaji saya. Walaupun saya menolak dia tetap jual dan bagi duit kat saya untuk sambut hari raya," kongsinya kepada mStar.

Jelas Mirul, selepas syarikat Mr Jet ditutup sepenuhnya, mereka berdua tetap bekerjasama dalam pelbagai perniagaan.

"Dia ada bisnes lain lagi, jadi saya terus bekerja dengannya sebagai penghantar barang sehinggalah 2015 saya membuka perniagaan sendiri sebagai pengedar alat tulis.

Mr Jet banyak membantu saya. Susah senang kami bersama. Alhamdullilah kini masing-masing sudah ada perniagaan sendiri.

AMIRUL IZMAN OTHMAN

"Mr Jet jugalah yang bantu saya mengeluarkan modal dan syarikat itu dinamakan AJ Trading Services and Resources iaitu gabungan nama saya iaitu Amirul dan Jet.

"Selepas itu kami jarang berhubung lebih kurang setahun. Namun pada 2017, dia ada hubungi saya ajak minum.

"Pada pertemuan itu dia sedang sedih selepas bercerai dengan isterinya, tambah hiba dia tunjuk gambar isterinya dengan lelaki lain," katanya yang menjadi pendengar setia kepada Mr Jet dan menasihatkannya supaya bersabar.

Tambah bapa kepada dua anak ini, selepas itu hubungan mereka kembali rapat walaupun jarang bertemu.

"Dia tinggal di Bukit Jalil dan saya pula di Puchong, lebih kurang tiga bulan lalu sekali lagi dia hubungi saya dan ajak berjumpa kerana nak beritahu sesuatu kepada saya.

"Agak rasa berdebar juga masa tu, rupa-rupanya dia cakap nak masuk Islam.

"Bila saya tanya kenapa nak masuk Islam, dia cakap; "Memang ramai kawan Islam dan hati dah terbuka untuk agama ini," ceritanya yang kemudian menjadi saksi Mr Jet melafazkan dua kalimah syahadah. 

Mirul menjadi saksi Mr Jet melafaz dua kalimah syahadah Mei lalu.

"Alhamdullilah saya gembira sangat," kata Mirul yang menganggap Mr Jet seperti abangnya sendiri.

Mulai saat itu, apabila bertemu kawan-kawannya, Mr Jet perkenalkan saya sebagai adiknya dan situasi itu membuatkan Mirul rasa terharu.

"Dia memang banyak tolong saya. Susah senang kami bersama. Kini Alhamdullilah kami masing-masing ada perniagaan sendiri dan dia dah buka kafe sendiri di Bukit Jalil," katanya.

Akui Mirul, dia sama sekali tidak akan lupakan setiap pertolongan Mr Jet kepadanya dan persahabatan mereka begitu akrab hinggakan dia sanggup datang menemuinya hanya untuk menghantar durian sahaja," ujarnya yang menolak pandangan negatif sesetengah orang yang timbulkan isu perkauman.

"Bagi saya apa sahaja bangsa adalah sama. Yang penting adalah hati dan kejujuran. Walaupun sebelum ini agamanya lain, tetapi tidak pernah timbul isu agama.

"Jatuh bangun kami hadapi bersama," katanya yang berasal dari Perak.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Mr Jet, Amirul, masuk Islam, kawan baik

Artikel Lain