SEMAKIN ramai ibu bapa yang cakna tentang perancangan kewangan jangka panjang untuk anak-anak mereka termasuk dengan membuka akaun menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Ramai tidak mengetahui remaja yang mencapai usia 14 tahun sudah boleh mendaftar sebagai ahli KWSP dan menariknya mereka berpeluang menerima insentif caruman daripada kerajaan walaupun masih belum bekerja. Hal itu dikongsikan perunding kewangan, Muhammad Faiz Zulfakar menerusi hantaran di Threads yang mencuri perhatian ibu bapa terhadap peluang mencarum simpanan masa depan anak.Menurutnya, antara perkara menarik ialah kadar insentif i-Saraan dinaikkan daripada 15 peratus kepada 20 peratus mulai 1 Januari 2025 dan inisiatif tersebut diteruskan bagi tahun 2026.Menerusi i-Saraan, ahli yang memenuhi syarat kelayakan boleh menerima insentif kerajaan sebanyak 20 peratus daripada jumlah caruman, tertakluk kepada maksimum RM500 setahun.Sebagai contoh, caruman sebanyak RM2,500 setahun oleh ibu bapa untuk akaun anak mereka akan membolehkan pencarum menerima insentif maksimum RM500.Ini menjadikan jumlah keseluruhan simpanan sebanyak RM3,000 iaitu RM2,500 daripada caruman sendiri dan RM500 insentif kerajaan.Selain itu, simpanan dalam KWSP juga berpotensi menerima dividen tahunan berdasarkan prestasi dan pengumuman dividen bagi tahun berkenaan.Bagaimanapun, insentif i-Saraan tidak dikreditkan serta-merta setiap kali caruman dibuat sebaliknya ia dibuat sebanyak dua kali setahun tertakluk kepada penerimaan bayaran insentif daripada kerajaan."Cuma sebelum ada yang excited sangat, semua anak umur 14 tahun boleh dapat RM500 ini? Tak semestinya, buka KWSP umur 14 tahun tak bermaksud automatik layak i-Saraan kerana ada syarat kelayakan."Antaranya ahli KWSP yang merupakan warganegara Malaysia, bawah 60 tahun dan berada dalam kategori seperti bekerja sendiri, tiada pendapatan tetap, pekerja gig atau penjawat awam dalam skim berpencen."Jadi yang RM500 itu adalah insentif i-Saraan, bukan bonus automatik untuk semua ahli KWSP umur 14 tahun," katanya.Faiz dalam masa sama turut mengingatkan ibu bapa supaya tidak menganggap simpanan KWSP boleh dikeluarkan sesuka hati apabila anak mencapai usia 18 tahun, termasuk untuk membiayai pengajian di universiti.Pengeluaran KWSP tertakluk kepada kategori pengeluaran dan syarat yang ditetapkan. "Satu lagi benda yang saya rasa ramai salah faham umur 14, umur 18 nanti boleh keluarkan untuk bayar universiti kan? Tak semestinya."Umur 18 bukan bermaksud kita boleh withdraw duit KWSP sesuka hati untuk masuk universiti, pengeluaran tetap tertakluk kepada kategori dan syarat ditetapkan," katanya.Bagi ibu bapa yang mahu menyediakan dana pendidikan anak, tabungan pendidikan khusus boleh diwujudkan sebagai dana berasingan yang lebih mudah dirancang mengikut keperluan pengajian.Dalam masa sama, KWSP boleh dijadikan salah satu lapisan simpanan jangka panjang bagi membina asas kewangan anak sejak usia muda.Bagi tahun 2026, kadar insentif i-Saraan sebanyak 20 peratus diteruskan dengan had maksimum RM500 setahun namun, ibu bapa perlu melihat pengumuman rasmi semasa kerana kesinambungan kadar tersebut untuk tahun-tahun berikutnya bergantung kepada dasar dan pengumuman kerajaan.