suria

Cium tak kira bangsa! Guru sebak tinggalkan murid pendidikan khas... rakan akui 'patah sebelah tangan' "Dia sayang macam anak sendiri"

Paparan skrin video tular berkenaan yang menyentuh hati netizen.

HAMPIR 11 tahun menyemai bakti, hari terakhir seorang guru bersama murid-murid istimewa di sekolah tempat beliau bertugas ternyata mengukir memori penuh air mata.

Video sekitar sesi perpisahan guru itu dengan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Kudin, Raub, Pahang menjadi tular sehingga menerima ratusan ribu tontonan di Facebook.

Menerusi video berkenaan yang dirakam pada Jumaat lalu, Mohd Khairul Che Hassan kelihatan sebak sewaktu bersalaman sambil mencium anak-anak didiknya yang terdiri daripada pelbagai bangsa.

ARTIKEL BERKAITAN: Disoal ibu duit buku ‘lesap’, murid salahkan ‘chicken chop sedap sangat’

ARTIKEL BERKAITAN: Murid menangis teresak-esak setiap kali guru kesayangan tak masuk kelas, balik rumah sambung lagi, “I love you Sir Khairil”

Bercakap kepada mStar, Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas sekolah berkenaan, Rosdi Aziz mengakui pemergian Mohd Khairul benar-benar memberi kesan buat pasukannya.

Mohd Khairul (tengah) kelihatan sebak sewaktu majlis perpisahan yang diadakan di sekolahnya.

"Pasukan kami untuk PPKI ni tak ramai. Bila dia berpindah, rasa macam patah sebelah tangan, sebab dah lama sangat dengan dia.

"Sepanjang kenal, dia memang rapat dengan murid, dia sayang macam anak sendiri. Sewaktu majlis tu, majoritinya menangis," ujar Rosdi.

Dia cakap, andai kata masa hari dihisab saya di Padang Mahsyar nanti berat keburukan saya lebih dari kebaikan, saya harap awak-awak semua dapat memberatkan timbangan kebaikan saya.

MOHD RAIZUDDIN ABDULLAH

Bercerita lanjut mengenai Mohd Khairul, Rosdi mendedahkan mereka pernah sama-sama terperangkap di puncak Gunung Kinabalu sewaktu gempa bumi yang melanda Sabah pada 2015.

Pada waktu itu, Rosdi bersama Mohd Khairul, empat pelajar PPKI dan beberapa individu lain mendaki gunung berkenaan sempena sambutan Jubli Emas sekolah mereka.

Dari kiri, Kamalrul, Mohd Khairul, Rosdi Aziz, Izazul dan Mohd Raizuddin.

"Itu adalah pengalaman yang paling tak boleh lupa dengan dia. Masa tu kita ada buat misi khas, 24 jam terperangkap atas gunung. Memang menakutkan pada waktu itu, sangat fobia, sebab kami boleh rasai gegaran sewaktu di puncak. Dia yang laung azan, baca Yassin walaupun dalam keadaan ketakutan masa tu," katanya lagi.

Dalam pada itu, pembantu pengurusan murid sekolah itu Mohd Raizuddin Abdullah yang bertanggungjawab merakam video tular berkenaan turut bercerita mengenai Mohd Khairul.

"Masa majlis perpisahan, ada kata-kata dia yang cukup membuat saya terkesan.

Mohd Khairul menerima penghargaan daripada Pengetua SMK Tengku Kudin, Lukman Yatimi (tengah) sambil disaksikan Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas, Rosdi Aziz (kiri).

"Dia cakap, andai kata masa hari dihisab saya di Padang Mahsyar nanti berat keburukan saya lebih dari kebaikan, saya harap awak (murid) semua dapat memberatkan timbangan kebaikan saya.

"Bantulah saya di sana nanti, tariklah saya bersama ke syurga bersama kamu semua.

"Dia cakap macam tu sambil menangis. Saya pun tak akan lupakan kata-kata dia," kata Mohd Raizuddin lagi.

Di sekolah itu, mereka menguruskan 36 murid yang mengalami masalah pembelajaran, penghidap sindrom down dan autistik.

Mohd Khairul yang juga bapa kepada empat anak ditukarkan ke SMK Bandar Chiku, Gua Musang, Kelantan yang juga negeri kelahirannya.

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Lain