suria

Kejam bunyikan siren kejut freshie bangun Subuh... Abang 'fasi' terharu dapat 'balasan' junior konvoi hantar pulang sampai rumah!

Ubai bertindak sebagai pengacara bebas sepanjang Minggu Orientasi.

BERGELAR pelajar baharu di sesebuah pusat pengajian tinggi pastinya tidak akan terlepas daripada mengikuti program wajib, Minggu Orientasi.

Di sinilah timbulnya perasaan sayang dan hormat, malah ada juga terbit bibit-bibit kebencian budak-budak baharu atau freshie terhadap kumpulan senior yang menguruskan mereka sepanjang tempoh sesi pengenalan itu.

Sebagai pelajar baharu, perkara utama yang tidak disukai setiap hari adalah bangun awal pagi sehingga terluah ayat-ayat  ‘maki hamun’ dalam hati kepada ahli jawatankuasa (AJK) program yang diuruskan senior mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar IPT terkejut! Satu kumpulan dapat markah 0, rupa-rupanya ahli 'selfish' tak hantar tugasan

ARTIKEL BERKAITAN: “Ah sudah habislah aku” - Lulus diploma tapi 'gagal' sifir, pelajar gugup dua kali kira Pro Cancelor kata 'salah juga'!

Sebagai salah seorang AJK Pembimbing Rakan Siswa Politeknik (PRSP), Muhammad Ubaidillah Zulkefli, ada cara tersendiri menguruskan 'adik-adiknya' di Politeknik Merlimau Melaka yang degil dan liat bangun pagi.

Pasukan AJK PRSP.

Menurut pelajar berusia 21 tahun itu yang lebih terkenal dengan panggilan ‘Abang Ubai’, ini adalah semester kelima dia bertugas sebagai pengacara bebas.

“Tugas saya mudah sahaja, menjadi penghibur di kala pelajar-pelajar baharu dikerah dengan pelbagai aktiviti.

“Setiap kali mereka diberi rehat selepas satu-satu acara, bermulalah tugas saya untuk mendekati mereka kerana setiap pelajar ada kerenahnya sendiri," kongsinya kepada mStar sambil menambah tahun ini seramai 1,500 pelajar baharu mendaftar di kampus politeknik berkenaan. 

Jelas Ubai, kebiasaannya dia tidak terlibat dengan jadual untuk 'mengejutkan' pelajar-pelajar bangun mengerjakan solat Subuh seawal pukul 4.30 pagi.

“Kami tidak akan 'kacau' pelajar-pelajar bukan Islam. Tugas ini biasanya dilakukan oleh AJK Blok yang memang terkenal dengan sikap tegasnya, tapi minggu lalu saya ambil alih tugas itu dan memutuskan untuk kejutkan mereka dengan cara tersendiri.

Ubai bersama sebahagian daripada pelajar baharu.

“Kalau biasanya akan buat pengumuman suruh bangun, mandi dan berkumpul untuk solat dibuat dengan cara direct, tapi kali ni saya bunyikan siren dan berlakon seperti polis suruh mereka angkat tangan, konon macam operasi pihak berkuasa.

“Mereka semua agak terkejut, terus bangun dan bersiap, tapi ada juga yang degil,” ujarnya sambil menjelaskan pihaknya tidak terus meluru masuk ke bilik pelajar, sebaliknya akan meminta izin dengan mengetuk pintu bilik mereka.

Kali ini saya bunyikan siren dan berlakon seperti polis suruh mereka angkat tangan, konon macam operasi pihak berkuasa.

MUHAMMAD UBAIDILLAH ZULKESLI

Jelas Ubai dia lebih suka mengambil pendekatan yang santai dengan freshie.

“Saya ini seperti tempat mereka menghilangkan tekanan atau penat. Bolehlah juga sebagai penghibur mereka.

“Saya tidak nafikan sepanjang seminggu bersama mereka, hubungan kami jadi rapat antara satu sama lain.

“Pengalaman ini merupakan salah satu kenangan indah buat saya sepanjang bergelar pelajar,” jelasnya yang kini berada di tahun akhir dan sedang mengikuti latihan praktikal.

Ubai turut berkongsi perasaan terharunya ketika hari terakhir meninggalkan kolej.

“Pelajar-pelajar junior sanggup konvoi hantar saya pulang ke rumah keluarga di Petaling Jaya.

Sebahagian daripada komen rakaman video yang dimuatnaik Ubai.

“Saya memang tidak sangka dan saya terharu dengan penghargaan mereka ini,” jelasnya.

Ubai telah berkongsi video mengejutkan pelajar-pelajar juniornya itu di Twitter dan mendapat lebih 3,000 ulang kicau.

Lebih meriah, pengikut Twitter yang lain turut meninggalkan komen-komen positif serta berkongsi pengalaman bergelar freshie.             

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
freshie, politeknik, bangun pagi

Artikel Lain