Pelajar IPT terkejut! Satu kumpulan dapat markah 0, rupa-rupanya ahli 'selfish' tak hantar tugasan - Viral | mStar

Pelajar IPT terkejut! Satu kumpulan dapat markah 0, rupa-rupanya ahli 'selfish' tak hantar tugasan

Tugasan berkumpulan kadang-kala banyak membawa masalah apabila terdapat ahli yang kurang memberi kerjasama. GAMBAR HIASAN: VideoBlocks

TUGASAN berkumpulan yang diberikan oleh pensyarah kadang-kala boleh menjadi mimpi ngeri buat pelajar universiti.

Biarpun sudah menyiapkan bahagian sendiri, wujud pula ahli yang tidak bertanggungjawab sehingga menjejaskan markah keseluruhan kumpulan.

Perkara ini dikongsi oleh seorang gadis di laman Twitter, mendapat perhatian ramai dan akhirnya tular.

Mahu dikenali sebagai Afiqah, gadis itu ketika dihubungi mStar Online mengaku kecewa dan sedih dengan apa yang berlaku khususnya apabila dimaklumkan mereka mendapat kosong markah atau 'telur ayam' untuk tugasan berkenaan.

"Ia kali pertama berlaku terhadap saya. Memang terkejut dan tak sangka. Sedih pun ada.

"Kami tiga orang sudah siap bahagian masing-masing, pelajar lelaki itu sahaja yang belum siap. Jadi dia minta serahkan semua bahagian yang dah siap pada dia, tak sangka dia tak hantar.

"Sebenarnya ada dua tugasan yang perlu dihantar pada dua tarikh berbeza. Pelajar lelaki itu salah faham dengan dua tarikh berkenaan menyebabkan dia tak hantar pada hari sepatutnya.

"Dia buat andaian bahawa tugasan pertama itu perlu dihantar pada tarikh satu lagi, dia tak tanya kami pun. Kami pun fikir dia dah tahu pasal tu," katanya pada Selasa.

Paparan skrin perkongsian kisah berkenanan yang menarik perhatian ramai di Twitter.

Afiqah yang menuntut di sebuah universiti di ibu negara berkata, dia hanya mengetahui bahawa tugasan berkumpulan tersebut tidak dihantar sejurus markah dikeluarkan oleh pensyarah subjek berkenaan.

Malah, dia turut kecewa apabila pelajar lelaki tersebut langsung tidak membuat permohonan maaf kepada mereka.

"Kami tak kenal pun, masa mula-mula dapat tugasan, kami pilih sahaja empat orang. Kami bukan dari satu jurusan yang sama.

"Bila dapat markah kosong, baru tahu dia tak hantar. Bila tanya baru dia gelabah. Saya memang serik untuk bekerjasama dengan dia lagi pada masa akan datang. Kalau tak tahu boleh je tanya sebenarnya.

"Bila kami pergi jumpa pensyarah untuk terangkan mengenai hal itu, dia tak ikut pun. Padahal dah WhatsApp kat dia," luahnya lagi.

Jelas gadis kelahiran Batu Caves, Selangor itu, dia juga sedih apabila penat lelahnya tidur lewat malam demi menyiapkan tugasan berkenaan berkahir dengan kedukaan.

Sudah menjadi kebiasaan buat kebanyakan pelajar universiti yang perlu bersengkang mata demi menyiapkan tugasan. GAMBAR HIASAN:  Champion National Security.

Namun katanya, pensyarah berkenaan juga sedang mempertimbangkan hal tersebut dan dia berharap agar markah tugasan itu dapat diubah semula.

"Markah ujian saya sebelum ni agak rendah, jadi memang mengharapkan markah dari tugasan berkumpulan ni.

"Lelaki tu tak apalah markah ujian dia dah OK. Tapi saya pun tak salahkan sepenuhnya pada dia.

"Kerja berkumpulan, paling penting kena komunikasi. Jangan menumpang atau ambil kesempatan dan kena fikir pasal orang lain juga," katanya.

Dalam pada itu, perkongsian kisah berkenaan yang dimuat naik oleh rakan Afiqah menerima hampir 8,000 ulang kicau (Retweet) di laman Twitter.

Kebanyakan pelajar yang pernah mengalami situasi hampir sama turut berkongsi kisah mereka di ruangan komen.

"Dulu selalu dapat teammate macam ni, sampai aku ugut nak buang team baru gelabah nk buat kerja," tulis @izzatcullenlah.

"Dulu masa zaman study kalau lecturer nak bagi assignment group memamg semua mengeluh sebab dah tau dah benda ni akan jadi," tulis @ct_nzrah.

"I dah kena semester ni. Kawan hantar lambat, pensyarah nak bagi F (gagal). Selepas pujuk baru dia tanda tugasan tu, tapi markah rendah dari kumpulan lain," tulis seorang lagi individu.

Artikel Lain