Cadar hanya guni beras! Nenek daif tak jemu tunggu bantuan walau ‘setiap kali pergi bank duit tak masuk-masuk’ - Viral | mStar

Cadar hanya guni beras! Nenek daif tak jemu tunggu bantuan walau ‘setiap kali pergi bank duit tak masuk-masuk’

Che Munah kini menyara hidupnya dengan menjual asam keping di Pasar Besar Siti Khadijah.

“Allah, nak menangis masa dia beritahu dari semalam tak makan nasi.”

Begitu luahan perasaan seorang penolong pegawai penyediaan makanan, Mohd Zamri Ismail, 30, ketika bertemu dengan seorang warga emas yang kelihatan serba daif sewaktu dia berkunjung ke sebuah pasar di Kota Bharu, Kelantan.

Pemuda yang berasal dari Kelantan itu bertemu dengan Che Munah Che Man, 80, di Pasar Besar Siti Khadijah pada Isnin sebelum bergerak pulang ke Sabah untuk mencari rezeki.

Beginilah keadaan rumah Che Munah yang serba daif.

“Saya memang selalu ke Pasar Besar Siti Khadijah kalau balik kampung. Kadang-kadang kalau nampak mak cik (Che Munah) ni, saya akan beli asam keping yang dijualnya,” kata Mohd Zamri ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Perkongsian Mohd Zamri mengenai pertemuannya dengan Che Munah kali ini menjadi tular sehingga ia dikongsi lebih 17,000 kali selepas dimuat naik ke Facebook pada petang Isnin.

Lelaki yang bertugas di Hospital Lahad Datu itu berasa sayu setiap kali dia melihat warga emas berkenaan gigih menjual asam keping, biarpun dia kelihatan lemah untuk berniaga.

Tempat tidur Che Munah yang menggunakan kotak beralas guni beras dan dilapikkan dengan tikar plastik di atasnya.

Tambah lelaki berusia 30 tahun itu, Che Munah tidak pernah meminta-minta kepada mereka yang lalu-lalang untuk membeli barangan jualannya.

“Dia tak meminta orang yang lalu-lalu di situ untuk beli asam keping. Dia hanya tunduk je, kadang-kadang bila tengok orang sekadar lalu, dia senyum je,” ujarnya.

Tambah memilukan, pemuda tersebut tersentuh hati apabila Che Munah memberitahu dia belum menjamah nasi dan bertanya kepada Mohd Zamri sekiranya dia sudi membelikannya beras dan budu untuk dimakan.

Antara barang dapur yang dibelikan oleh Mohd Zamri untuk Che Munah.

Tanpa berfikir panjang, Mohd Zamri menawarkan untuk membeli barangan dapur dan menumpangkan warga emas itu pulang ke rumahnya di Selising, Pasir Putih yang terletak lebih 30 kilometer (km) dari pasar tersebut.

“Mak cik tu naik bas selama 40 minit untuk berniaga di pasar. Tambang bas RM3.50, tapi katanya kadang-kadang pemandu bas tidak mengambil bayaran tambang daripadanya.

“Saya tumpangkan mak cik tu balik naik kereta saya dan sempat bersembang... dia kata, suaminya dah meninggal dua tahun lepas dan dia tiada anak,” jelas Mohd Zamri.

Mohd Zamri sering membeli asam keping daripada Che Munah setiap kali pulang ke kampung halamannya.

Sewaktu tiba di kediaman Che Munah, Mohd Zamri terkejut melihat keadaan rumahnya yang serba kekurangan.

“Sampai di rumah dia, sebak rasa sebab sangat daif. Dia tidur di atas kotak beralas guni beras.

“Pasal bantuan saya tak pasti macam mana. Dia cakap ada terima bantuan RM300 sebulan, tapi setiap kali ke bank untuk ambil duit, duit tak masuk-masuk,” ujarnya.

Menurut pemuda itu lagi, Che Munah sempat berpesan kepadanya: “Cucu, walaupun kita susah, kita jangan mencuri. Hati-hati bawa kereta.”

Mohd Zamri , Che Munah , asam keping

Lebih Artikel

PFA lepaskan Muhammad Zafuan serta-merta