suria

"Terima kasih semua, ramai call sampai telefon saya 'mati', artis pun ada" - Bapa Akib

Kisah Akib didedahkan oleh seorang guru, Mohd Nasir Mohd sehingga tular di media sosial. -foto Mohd Nasir

NASIB Muhammad Akib Jebat Hasni, murid darjah tiga yang tetap ke sekolah meskipun terpaksa memakai kasut dan seluar sekolah bersaiz besar yang sudah lusuh mendapat simpati ramai.

Sejak kisahnya didedahkan Jumaat lalu, netizen meluahkan rasa sebak dan terharu dengan semangat kental kanak-kanak berusia sembilan tahun itu.

Malah ramai yang meluahkan hasrat mahu membantu Muhammad Akib atau lebih mesra disapa Akib serta keluarganya.

Pendek kata, kisah Akib berjaya menyatukan rakyat Malaysia!

Bapa Akib, Hasni Elias berkata sejak kisah anak ketiganya itu tular di media sosial, telefon bimbitnya tidak putus-putus menerima panggilan daripada orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan.

Keadaan Akib menjentik emosi guru sekolahnya yang bertindak membawanya membeli baju, seluar dan kasut sekolah baharu.

"Ramai orang call sejak cerita itu keluar. Cina, Melayu, India semualah... artis pun ada. Mereka yang mesej pun ramai.

"Sampaikan bateri telefon bimbit saya mati. Telefon pun dah lama jadi bateri cepat habis," katanya ketika dihubungi mStar Online.

ARTIKEL BERKAITAN: "Sekarang darjah 3 memang dia tak rasa malu" - Guru sebak murid jalan seret kaki, pakai seluar 'bekas' abang

ARTIKEL BERKAITAN: "Anak-anak saya faham keluarga mereka susah" - Bapa murid pakai kasut, seluar besar ke sekolah

Menurut bapa kepada empat orang anak itu, rumah sewa mereka di Taman Sri Pekula, Sungai Petani, Kedah turut tidak putus-putus dikunjungi tetamu.

"Kelmarin tetamu ramai datang sejak pukul 8 pagi sampailah waktu saya nak masuk kerja semula pukul 4 petang.

"Orang zakat, kebajikan pun ada mai (datang) begitu juga pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun). Mereka bawa barang dapur macam beras, minyak masak dan macam-macam lagi," katanya.

Hasni yang bekerja sebagai pengawal keselamatan turut meluahkan rasa terharu dengan kesungguhan dan keprihatinan orang ramai terhadap keluarganya.

Kediaman enam beranak ini tidak putus-putus dikunjungi orang ramai sejak kisah Akib tular.

"Saya amat terharu. Syukur Alhamdulillah. Terima kasih banyak-banyak, hanya Allah yang dapat balas rezeki depa.

"Bantuan ini ibarat memberi sinar baharu kepada keluarga kami," katanya.

Menurut Hasni, isterinya, Siti Fauziah Abdullah sudah membuka akaun bank bagi memudahkan orang ramai untuk menghulurkan sumbangan.

"Ramai call... mesej minta nombor akaun. Waktu tu tak ada lagi. Jadi semalam bini saya pun pergi ke bank dan dia buka akaun baharu," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Hasni di talian 013 - 452 9619.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Akib, kasut besar, seluar besar, miskin

Artikel Lain