Ibu sahkan surat beranak gadis 'lahir dalam perjalanan ke hospital', dedah 'adiknya lahir dalam bilik air' - Viral | mStar

Ibu sahkan surat beranak gadis 'lahir dalam perjalanan ke hospital', dedah 'adiknya lahir dalam bilik air'

Tasha (kiri) bersama bapa, ibu dan adik bongsunya, Najwa. - Foto ihsan Tasha.

UNIK dan satu dalam seribu!

Itulah kata-kata yang menggambarkan keunikan tempat lahir seorang gadis seperti yang tertera dalam sijil lahirnya sejak 21 tahun lalu.

Jika kebanyakan remaja seusianya dilahirkan di hospital, berbeza pula Nur Natasha Aina Mohd Azzian apabila dia dilahirkan di dalam kereta semasa ibunya dalam perjalanan ke Hospital Seremban.

Nur Natasha atau lebih mesra disapa Tasha berkongsi paparan skrin sijil kelahirannya di Twitter yang menunjukkan 'dalam perjalanan ke hospital' sebagai butiran tempat kelahirannya.

Posting Tasha mendapat perhatian netizen apabila ia diulang kicau (retweet) lebih 13,000 kali dan mendapat kira-kira 10,952 tanda suka (like).

Ibu Tasha, Nur Zainidah Abd Rajab turut berkongsi kisah kelahiran anak keduanya itu yang disifatkan sebagai pengalaman istimewa dalam hidupnya bersama mStar Online.

Menurut Nur Zainidah, Tasha selamat dilahirkan sebaik sahaja kereta yang dipandu oleh abang iparnya, Jeffri Bassin melalui Plaza Tol Rasah, Seremban pada awal pagi, 31 Januari 1998.

Tweet Tasha tular di Twitter.

"Masa tu Hari Raya kedua... Makcik dari Alor Gajah, Melaka, rumah atok Tasha. Sekitar pukul 2 pagi, makcik pergi tandas, tengok-tengok dah turun tanda air ketuban pecah.

"Tapi makcik masih tenang sebab tak ada rasa sakit. Lepas tu suami (Mohd Azzian Bassin) tanya sempat tak kalau bersalin dekat Hospital Seremban. Dia tanya sakit ke tak, makcik kata tak sakit pun.

"Jadi kami naik kereta terus ke Hospital Seremban. Dalam perjalanan dekat highway tiba-tiba minyak nak habis. Kami pun singgah di rumah mak mertua dekat Pedas, tukar kereta dengan abang ipar," katanya.

Jelas ibu kepada tiga orang anak itu, dia mula mengalami rasa sakit hendak bersalin sebaik tiba di rumah ibu mertuanya.

"Masa tu dah sakit tapi bila dalam perjalanan ke Seremban, makin lama makin sakit. Waktu tu abang ipar bawa kereta manakala ayah Tasha duduk di depan dan makcik dekat belakang.

"Kami suruh abang ipar masuk ikut highway. Bila dah masuk highway makcik cakap dah tak tahan dah. Pakcik (suami) selak tengok-tengok kepala baby dah keluar.

"Makcik memang dah tak boleh tahan lagi, terus teran. Elok je abang ipar bayar tol, baby pun keluar. Itulah kisah kelahiran Tasha," katanya.

Suri rumah berusia 44 tahun itu berkata dia bersyukur kerana Tasha dilahirkan dengan selamat memandangkan dia disarankan doktor untuk bersalin secara pembedahan kerana kedudukannya yang songsang semasa kandungan berusia lapan bulan.

"Sepatutnya makcik kena bersalin secara c-zer sebab masa kandungan lapan bulan doktor kata kedudukan baby songsang. Makcik dah siap isi borang semua untuk bersalin secara pembedahan.

"Namun dengan kuasa Allah, Alhamdulillah makcik dapat bersalin normal. Doktor pun terkejut bagaimana makcik boleh bersalin dengan begitu mudah," katanya.

Tasha (kiri) dan Najwa masing-masing mempunyai kisah kelahiran yang unik.

Tambah Nur Zainidah, anak ketiganya, Nur Natasha Najwa, 17, juga amat istimewa kerana dilahirkan di rumah mereka di Seremban.

"Adik Tasha pula dilahirkan di dalam bilik air. Waktu tu selepas balik keluar dengan mak mertua dan adik ipar, tiba-tiba perut makcik rasa tak selesa.

"Pergi je bilik air tengok dah turun tanda. Makcik call suami suruh balik. Masa suami dalam perjalanan makcik sempat panggil jiran sebelah beritahu sakit hendak bersalin.

"Elok je mencangkung, tangan tergerak nak rasa kat bawah. Pegang je rasa kepala dah keluar. Makcik turun ke lantai, separuh badan ke dapur, separuh lagi masih dalam bilik air, kemudian makcik mengiring panggil jiran dan baby pun keluar," katanya.

Bagaimanapun Nur Zainidah berkata, dia dan suami sepakat menulis tempat kelahiran Najwa di Hospital Seremban kerana bimbang dia berasa malu apabila meningkat dewasa.

"Takkan nak letak dalam surat beranak bersalin dalam bilik air kan. Jadi suami tulis bersalin dekat Hospital Seremban sebab takut dia (Najwa) malu nanti.

"Jadi kakak dia sahajalah yang ayah dia letak dalam perjalanan dalam surat beranak," katanya.

Sementara itu, Tasha yang juga seorang pelajar di Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan berkata jika dulu dia malu dengan tempat kelahirannya tetapi sekarang tidak lagi.

"Dulu waktu sekolah selalu kena ejek sebab tempat lahir paling pelik. Sekarang saya bangga dengan tempat kelahiran saya.

"Saya antara yang bertuah, satu dalam seribu," katanya.

Tasha , bersalin

Klik

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

Artikel Lain