suria

Di sebalik video ‘cikgu pondan’, banyak lagi dipersoal “Perakam yang sebar video pasti menyesal...”

Seorang guru didakwa merotan pelajarnya gara-gara memanggilnya pondan.

MEDIA sosial terus hangat dengan penularan video yang menunjukkan seorang ibu yang berang apabila anaknya dirotan gara-gara melabelkan gurunya sebagai pondan.

Sehinggakan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik juga tampil membuat kenyataan berhubung isu panas tersebut dengan mengarahkan agar siasatan adil dilaksanakan.

Pelbagai reaksi dan pandangan netizen diberikan mengenainya, termasuk pandangan peribadi seorang guru lain yang menyifatkan kedua-dua guru dan pelajar melakukan kesalahan kerana melanggar peraturan sekolah dengan menghina guru dan guru berkenaan bertindak balas dengan merotan berlebihan.

ARTIKEL BERKAITAN: Mulut celupar bawa padah! Ibu serang guru, berang anak dirotan gara-gara cikgu dipanggil pondan, “Masa saya pukul kenapa tak minta maaf terus”

ARTIKEL BERKAITAN: Video 'cikgu pondan': Menteri arah PPD siasat, "Kekerasan ke atas murid ditolak sama sekali"

Menerusi perkongsian di halaman Facebook Mohd Fadli Salleh yang kini tular, guru berkenaan turut mempersoalkan individu yang merakamkan video tersebut dengan tujuan untuk mengaibkan guru dan pihak sekolah.

“Adalah menjadi kesalahan merakam penjawat awam di premis mereka kemudian menyebarkan dengan niat memburukkan mereka. Adakah pelawat (ibu pelajar) memakai pas pelawat dan melapor diri kepada pengawal keselamatan sebelum masuk ke sekolah? 

“Jika tiada, satu lagi tindakan perlu diambil. Sekolah adalah tempat selamat untuk murid-murid, jika sesiapa boleh menceroboh tanpa pas pelawat dan tanpa lapor diri, tindakan perlu diambil kerana isu keselamatan,” katanya menerusi posting pada Selasa malam, dikongsi lebih 2,000 kali.

Seorang pelajar menunjukkan kesan lebam di pahanya.

Mohd Fadli berkata, tindakan pentadbir dalam kes tersebut dilihat sangat cuai dan tidak memberi peranan, dengan kes seumpamanya kerap berlaku di seluruh negara.

“Ibu bapa datang mengadu sepatutnya melalui pentadbir, bukan berhadapan dengan guru itu sendiri. Satu keputusan yang salah membiarkan ibu bapa yang kemarahan berhadapan dengan guru yang bengang. 

“Dalam kes ini, aku puji guru tersebut masih kekal tenang dan masih bersopan dengan penyerang dengan memanggilnya ‘puan’,” tambahnya.

Kenapa you biadab pada cikgu you?  Itu isunya. Perakam yang menyebarkan video pasti menyesal kerana harapan perakam pastinya mahu melihat netizen mengecam guru, namun sebaliknya yang berlaku

MOHD FADLI

Mengulas berkaitan video tersebut, Mohd Fadli yang juga dikenali sebagai ‘Cikgu Korea’ itu berkata, tindakan guru merotan hingga ada kesan lebam pada lengan, betis dan paha adalah melampau.

“Adalah salah untuk bertindak sampai tahap itu. Namun, pada aku pelajar itu yang mencetuskan provokasi melampau dan sangat biadab! 

“Berkata pada kawan-kawan lain di depan guru tersebut dengan menggelarnya pondan adalah satu perbuatan biadab yang memang akan mencetuskan perasaan marah sesiapa sahaja.

“Maka tidak hairanlah seorang guru yang berdedikasi dan disayangi pelajar-pelajar lain bertindak di luar jangkaan sebegitu,” katanya selepas membaca komen-komen positif daripada pelajar dan bekas pelajar guru berkenaan yang menyokongnya.

Kesan lebam di lengan.

Dalam pada itu, Mohd Fadli turut menegaskan tiada isu perkauman yang ditimbulkan kerana isu yang dibangkitkan adalah sikap biadab pelajar berkenaan.

“Kenapa you biadab pada cikgu you? Itu isunya. Perakam yang menyebarkan video pasti menyesal kerana harapan perakam pastinya mahu melihat netizen mengecam guru, namun sebaliknya yang berlaku,” katanya.

Mohd Fadli bagaimanapun berharap agar isu tersebut diselesaikan dengan baik tanpa perlu melibatkan mahkamah dan dakwaan.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain