suria

Video 'cikgu pondan': Menteri arah PPD siasat, "Kekerasan ke atas murid ditolak sama sekali"

Seorang pelajar yang didakwa dirotan oleh seorang guru gara-gara memanggilnya pondan.

VIDEO yang tular mengenai seorang pelajar didakwa dirotan kerana memanggil seorang guru dengan gelaran pondan mendapat perhatian menteri pendidikan.

Dr Maszlee Malik berkata, beliau telah menerima laporan berhubung kejadian yang berlaku di koridor sebuah sekolah.

ARTIKEL BERKAITAN: Mulut celupar bawa padah! Ibu serang guru, berang anak dirotan gara-gara cikgu dipanggil pondan, “Masa saya pukul kenapa tak minta maaf terus”

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru menjalankan siasatan terhadap guru dan pelajar berkenaan.

"Saya menerima laporan kejadian di mana seorang guru telah merotan seorang murid perempuan kerana menegur beliau dengan ayat "Ah qua lao Shi" (Cikgu Pondan) ketika guru tersebut lalu di koridor tanpa sebab. 

"Sehingga kini, berdasarkan laporan yang saya terima daripada PPD Johor Bahru, siasatan telah mula dijalankan dan PPD juga akan mengadakan perjumpaan dengan ibu bapa murid berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Maszlee berkata, beliau menasihatkan masyarakat agar menghentikan penularan video dan gambar-gambar berkaitan kes tersebut demi menjaga imej guru dan murid tersebut.

Menurutnya, ia bertujuan untuk memberi ruang kepada PPD Johor Bahru dan pihak terbabit menjalankan tugas menjalankan siasatan sebaik mungkin. 

"Dalam masa yang sama saya juga ingin menegaskan sebarang bentuk kekerasan ke atas murid haruslah ditolak sama sekali. 

"Kementerian Pendidikan positif perkara ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat, mengikut tatacara dan prosedur operasi standard (SOP) yang bersesuaian," tambahnya.

Saya ingin menegaskan sebarang bentuk kekerasan ke atas murid haruslah ditolak sama sekali. 

DR MASZLEE MALIK

Terdahulu, kecoh sebuah video membabitkan seorang wanita dipercayai ibu kepada pelajar perempuan terbabit berang apabila anaknya didakwa dirotan pada lenggan dan pahanya gara-gara melabelkan guru lelakinya itu pondan.

"Sekarang dia cakap sama you sorry, kenapa kamu nak hentam dia macam ni?," kedengaran suara perakam dipercayai ibu kepada pelajar terbabit.

"Jangan ingat kamu cikgu besar... kamu rotan macam ni. Kamu ni cikgu, tak boleh buat macam ni tau. Kamu memang salah," tambah wanita itu.

Wanita berkenaan mempertikaikan anaknya dipukul yang didakwa pada bahagian lengan dan paha hanya menyebut perkataan itu kepada gurunya.

"Dia hanya cakap sama kamu saja... cakap saja. Dia ada pukul kamu tak? Kalau dia ada pukul kamu... kamu pukul dia tak apa. Jangan macam ni," ujarnya.

Guru lelaki berkenaan memberitahu pelajar tersebut hanya memohon maaf selepas dipukul, dipercayai hanya disarankan oleh rakan pelajar itu.

"Masa saya pukul tu kenapa dia tak cakap terus minta maaf? Dah lepas kawan dia cakap baru dia cakap maaf pada saya," kata guru berkenaan.

Selain itu, beberapa gambar menunjukkan kesan lebam di lengan dan paha pelajar perempuan didakwa dirotam guru tersebut turut tular di media sosial.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain