Mulut celupar bawa padah! Ibu serang guru, berang anak dirotan gara-gara cikgu dipanggil pondan, “Masa saya pukul kenapa tak minta maaf terus” - Viral | mStar

Mulut celupar bawa padah! Ibu serang guru, berang anak dirotan gara-gara cikgu dipanggil pondan, “Masa saya pukul kenapa tak minta maaf terus”

Seorang guru didakwa merotan pelajarnya gara-gara memanggilnya 'pondan'.

SEBUAH video tular menunjukkan seorang wanita berang apabila anaknya didakwa dirotan pada lenggan dan paha gara-gara melabelkan guru lelakinya sebagai pondan.

Menerusi video berdurasi kira-kira dua minit itu, wanita terbabit mempersoalkan tindakan guru tersebut selepas anak perempuannya yang juga pelajar sekolah menengah itu memanggil cikgunya dengan gelaran 'ah kua' atau pondan.

ARTIKEL BERKAITAN: Video 'cikgu pondan': Menteri arah PPD siasat, "Kekerasan ke atas murid ditolak sama sekali"

"Dia dah cakap sama you sorry, kenapa kamu nak hentam dia macam ni?," kedengaran suara dalam rakaman itu dipercayai ibu kepada pelajar terbabit.

"Jangan ingat kamu cikgu besar... kamu rotan macam ni. Kamu ni cikgu, tak boleh buat macam ni tau. Kamu memang salah," tambah wanita itu.

Pelajar perempuan menunjukkan kesan lebam pada pahanya.

Wanita berkenaan mempertikaikan tindakan guru terbabit memukul anaknya yang didakwa pada bahagian lengan dan paha kerana menyebut perkataan itu.

"Dia hanya cakap sama kamu saja... cakap saja. Dia ada pukul kamu tak? Kalau dia ada pukul kamu... kamu pukul dia tak apa. Jangan macam ni," ujarnya.

Guru lelaki berkenaan memberitahu pelajar tersebut hanya memohon maaf selepas dipukul, dipercayai selepas disarankan oleh rakan sekolahnya.

"Masa saya pukul tu kenapa dia tak minta maaf terus? Dah lepas kawan dia cakap baru dia cakap maaf pada saya," jelasnya.

Kesan lebam di lengan didakwa dirotan.

Guru tersebut turut mendakwa, pelajarnya itu menyebut perkataan pondan itu secara bersemuka sebagai tindakan yang tidak wajar.

Ibu kepada pelajar perempuan itu kemudian bersemuka dengan seorang lagi guru perempuan berhubung kejadian itu. 

Menerusi video yang kini tular di media sosial itu bagaimanapun tidak dipastikan bila dan lokasi serta punca sebenar insiden berlaku.

Selain itu, beberapa gambar menunjukkan kesan lebam di lengan dan paha pelajar perempuan yang didakwa dirotan guru tersebut turut tular di media sosial.

rotan , pukul , guru , cikgu , ponda , ah kua

Artikel Lain

Mayat Nora Anne sudah dituntut