Gigih masak walau tangan patah, tuan rumah menangis tunggu saudara tak muncul sampai 10 malam, “Harap mereka tak lupakan mak” - Viral | mStar

Gigih masak walau tangan patah, tuan rumah menangis tunggu saudara tak muncul sampai 10 malam, “Harap mereka tak lupakan mak”

Walaupun tangan ibu Noor Lela patah dan masih belum pulih sepenuhnya, ibunya itu tetap bersemangat menyediakan juadah untuk saudaranya yang mahu datang beraya ke rumah mereka.

SUDAH menjadi kebiasaan adik beradik mahupun saudara mara yang tinggal berjauhan kunjung-mengunjung antara satu sama lain ketika Syawal.

Dengar sahaja niat itu, tuan rumah pasti teruja dan berusaha menyediakan hidangan terbaik untuk dinikmati insan tersayang yang sudah lama tidak bersua muka.

Namun berbeza pula dengan situasi yang dilalui seorang ibu anak tiga apabila adik-beradiknya yang ditunggu-tunggu tidak kunjung tiba pada Sabtu lalu.

Lebih mengecewakan pelbagai hidangan yang disediakan wanita yang dalam keadaan kurang sihat itu langsung tidak berusik.

ARTIKEL BERKAITAN: Lauk jualan Ramadan terpaksa beri jiran, anak sebak... “Tak sampai hati tengok mama”

Kisah sedih menimpa wanita itu diceritakan anaknya, Noor Lela Jamil menerusi satu bebenang di Twitter.

Posting Noor Lela menjadi perhatian netizen di Twitter.

Paparan skrin mesej menampakkan empat jenis juadah yang diterima Noor Lela daripada ibu dengan kapsyen "Aku paling geram dengan manusia cakap nak datang rumah beraya, tapi tak datang pun. Kesian mak aku tau. Hmm" mendapat lebih 30,100 ulang kicau dan 15,900 tanda suka.

Menurut Noor Lela, sebaik ibunya tahu keluarga adiknya mahu datang beraya ke rumah mereka di Jenderam Hulu, Dengkil, ibunya amat teruja untuk menyediakan pelbagai hidangan untuk mereka.

"Sebenarnya mak saya tak larat nak masak sebab tangan dia patah. Tapi bila dengar saudara nak datang, lain macam semangat dia. Ayah pun pergi pasar cari barang-barang, lepas tu mak pun masak seorang. Saya tak dapat tolong masak sebab bekerja.

"Macam-macam mak masak, nampak sikit tapi pelbagai. Ada mi udang, sambal ayam masak bamboo, karipap, nasi beriyani dan puding roti. Mak siap suruh ayah belikan durian sebab adik dia nak sangat makan pengat durian," katanya kepada mStar.

Anak bongsu tiga beradik itu turut memberitahu ibunya ada menghubungi adiknya memandangkan kelibat mereka masih belum kelihatan selepas lama menunggu.

"Mereka beritahu nak datang pukul 10 pagi sebab tu mak masak banyak tapi tunggu-tunggu tak ada juga. Tiba-tiba pukul 1 tengah hari mak call, mereka kata rumah mak ndak (mak Noor Lela) dekat dalam hutan sangat.

Antara hidangan yang dimasak ibu Noor Lela untuk dijamu kepada tetamu yang datang.

"Mereka sesat dan terlepas sampai ke Negeri Sembilan. Jadi mereka kata nak pergi beraya rumah orang lain dulu. Mereka kata nak datang malam, itupun kalau larat nak beraya lagi," katanya.

Bagaimanapun Noor Lela berkata ibunya tetap setia menunggu sehingga pukul 10 malam tetapi saudara mereka tetap tidak muncul.

"Jadi mak mesej saya dan along minta datang rumah ambil makanan bawa balik rumah masing-masing. Bila saya balik rumah gigih mak buka pintu, dia ingat saudaranya datang, tiba-tiba terus hilang senyuman dia.

Macam-macam mak masak nampak sikit tapi pelbagai. Ada mi udang, sambal ayam masak bamboo, karipap, nasi beriyani dan puding roti. Mak siap suruh ayah belikan durian sebab adik dia nak sangat makan pengat durian.

NOOR LELA JAMIL.

"Saya terpaksa cakap dekat mak tak payah dahlah tunggu mereka tak nak datang pun. Lepas tu barulah kami kemas makanan-makanan tu masuk peti ais. Sampai tak muat peti ais.

"Kami pun ada bagi jiran-jiran tapi masih banyak lagi makanan. Kalau tahu mereka tak jadi datang dari awal bolehlah sedekah dekat masjid tapi waktu tu dah lewat malam," katanya.

Bercerita mengenai reaksi ibunya selepas insiden itu, Noor Lela berkata dia dapat melihat dengan jelas wajah kecewa ibunya.

Keadaan tangan ibu Noor Lela yang masih belum pulih sepenuhnya selepas patah pada Disember lalu.

"Nampaklah mak sedih. Waktu mak minta saya urut, saya tanya mak penat ke. Lepas tu dia cakap alah penat biasa je, tapi tak pe lah harap-harap mereka tak lupa kat mak. Mak diam lepas tu suara dia macam bergetar.

"Saya dah tengok mak nangis sebab saya urut dia dari belakang. Bila saya urut pinggang dia tu dia kata harap-haraplah mereka tak lupakan mak. Walaupun mereka tak datang asalkan mak dalam doa mereka pun dah cukup. Saya pun rasa nak menangis waktu tu," katanya.

Kasihan melihat ibunya, gadis berusia 27 tahun itu turut berang dengan perbuatan saudara mereka yang tidak menghargai usaha ibunya.

"Waktu tu marah, sedih semua ada. Siapa sanggup tengok mak sendiri sedih. Sekurang-kurangnya beritahulah kalau tak jadi datang atau minta maaf. Ini tidak senyap sampai ke sudah. Kita pun tak tahu apa jadi dekat mereka.

"Paling saya terkilan bila mereka siap tanya sekarang musim durian ke dekat sini sebab mereka teringin nak makan pengat durian. Mak saya pula tak boleh dengar adik-beradik dia cakap gitu. Jadi mak pun buatkanlah.

"Alih-alih mereka tak datang. Kesian mak saya. Mak siap cakap penat dia masak tapi tak ada siapa nak makan. Dia rasa penat dia sia-sia. Saya kalau boleh nak je call mereka tapi mak cakap biarlah," katanya.

Antara komen netizen yang bersimpati dengan nasib ibu Noor Lela.

Sementara itu, Noor Lela berkata dia tidak menduga luahannya itu mendapat perhatian netizen.

"Saya sebenarnya nak mengadu dekat kawan tapi tak sangka jadi viral. Rupa-rupa ramai yang pernah lalui insiden sama tapi tak adalah sampai tangan mak mereka patah.

"Saya harap agar kisah ini jadi pengajaran kepada orang lain. Jangan buat orang lain macam tu, fikirlah perasaan mereka. Kita tak tahu apa yang berlaku, mungkin ada kisah disebaliknya tanpa diketahui orang," katanya.

Susulan insiden itu, Noor Lela bersyukur kerana saudara sebelah bapanya datang berkunjung ke rumah mereka pada keesokan harinya.

"Nasib baik ada adik-beradik sebelah abah datang pada Ahad. Jadi merekalah yang habiskan kambing bakar dengan mi udang. Tapi saya juga terharu dengan komen positif netizen yang sentiasa mendoakan kesihatan mak saya ," katanya.

Aidilfitri , saudara mara , juadah raya

Artikel Lain