suria

“Ini bukan rekaan, kerusi pun pernah bergerak sendiri... ditarik, ditolak” - Guru kongsi misteri papan tanda berhayun di koridor sekolah

Kejadian aneh di sebuah sekolah didakwa berlaku di utara tanah air menjadi kecoh di media sosial.

SEBUAH video yang tular menunjukkan satu papan tanda bergoyang di kaki lima sebuah sekolah menjadi tanda-tanya sehingga membuatkan ramai menganggap ia kejadian aneh.

Tiada angin kuat ketika itu dan beberapa papan tanda yang turut digantung di siling kaki lima dengan jarak beberapa meter antara satu sama lain langsung tidak bergerak, tetapi papan tanda yang satu itu berhayun ke kiri dan kanan tanpa henti.

"Hangpa (kamu) perasan tak, satu je goyang kuat. Yang lain tu rilek je. Makin lama makin laju," suara individu yang membuat rakaman berdurasi kira-kira seminit itu dapat didengar.

"Diselubungi misteri," demikian status bersama video yang dimuat naik oleh seorang guru dan dikongsi lebih 1,400 kali, sehingga menimbulkan pelbagai reaksi termasuk segelintir netizen yang mempersoalkan kesahihan kejadian aneh itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Seram sejuk rumah terbuka Hari Raya muncul 'tetamu tak diundang', "Rambut mengerbang, duduk atas balang kuih raya"

ARTIKEL BERKAITAN: Video tular kelibat lembaga putih atas kereta, “Hati-hati memandu”

Bercakap kepada mStar, guru yang enggan dikenali itu mendedahkan dia memuat naik video itu di laman sosial selepas ia dikongsi oleh rakannya yang juga guru di sekolah berlainan di utara tanah air.

Tangkapan skrin klip video menunjukkan papan tanda semakin laju bergoyang ke kiri dan kanan.

Guru wanita berusia 37 tahun itu mendakwa, kejadian dirakamkan di sekolah rakannya bertugas selepas tamat sesi kelas sebelum bersambung sesi pembelajaran bagi mata pelajaran lain.

"Video ni kami dapat daripada dia (rakan) dalam group sembang Whatsapp kami dalam kalangan guru-guru. Rakan saya ni tak ada Facebook, jadi saya sekadar berkongsi antara kami dan tak sangka ia tular.

"Dia kata kejadian misteri itu bukan pertama kali berlaku. Kawasan di situ agak 'keras' jadi ada yang pelik-pelik atau kewujudan makhluk halus kadang-kadang berlaku. Pernah juga barang-barang bergerak sendiri di dalam kelas macam kerusi atau meja," katanya kepada mStar, namun enggan mendedahkan nama dan lokasi sekolah berkenaan.

Perkongsian video oleh seorang guru di laman sosial sehingga menjadi tular.

Dia yang menyertai bidang perguruan sejak 15 tahun lalu berkata, bagaimanapun kakitangan sekolah termasuk pelajar tidak mengalami gangguan ekoran insiden aneh yang berlaku.

"Tak ada yang diganggu dan bukan selalu ada kejadian macam tu. Walaupun bergoyang macam tu, tapi 'benda' tu tak ganggu. Sebab tu tak ada budak-budak yang menjerit. 'Dia' tak ganggu kita dan kita pun janggan ganggu 'dia'.

"Mungkin sebab lokasi sekolah itu dikaitkan dengan kisah zaman penjajahan Jepun dulu dan terletak di sebuah hutan kecil, adalah kisah-kisah yang tak sedap didengar," dakwanya namun enggan mengulas lanjut berhubung sejarah di kawasan sekolah tersebut.

Kejadian misteri itu bukan pertama kali berlaku. Kawasan di situ agak 'keras' jadi ada yang pelik-pelik atau kewujudan makhluk halus kadang-kadang berlaku.

GURU

Dalam pada itu, dia turut menafikan kritikan segelintir netizen bahawa kejadian aneh itu sengaja direka untuk menakutkan orang ramai, malah mendakwa rakaman tersebut disunting.

"Kalau disunting, mesti pelajar-pelajar di situ akan pandang pada orang yang tarik atau goyangkan papan tanda tu. Tapi mereka terus pandang pada papan tanda yang bergoyang.

"Kebetulan kawan tu dah habis mengajar tunggu sesi kelas yang seterusnya. Masa tu dia pegang telefon bimbit dan nampak bergoyang, terus dirakamnya. Dan kebetulan ia (kejadian) dilihat dalam rakamannya. Ada je kes di tempat lain orang nak rakam, tapi tak nampak apa-apa pun," ujar ibu lima anak itu.

Kejadian aneh itu turut disaksikan beberapa pelajar.

Guru tersebut turut memberitahu, dia sendiri pernah mengalami kejadian aneh di sekolahnya tetapi tiada kemalangan jiwa berlaku.

"Saya pernah duduk seorang di dalam kelas, masa tu tiada murid-murid. Tak ada angin, tak ada orang kecuali saya, tiba-tiba ada kerusi yang bergerak sendiri seperti ditarik atau ditolak.

"Malah, ada juga murid saya yang menegur saya semasa sedang makan di kantin. Mereka kata baru saja bercakap dengan saya di kelas, sedangkan saya di kantin," ujarnya.

Menurutnya, kejadian seumpama itu boleh berlaku di mana-mana dengan kekuasaan Tuhan untuk menunjukkan ada makhluk lain, selain manusia.

"Ini bukan rekaan, terpulang kepada netizen membuat pelbagai tanggapan. Tapi percayalah bahawa Allah itu Maha Berkuasa," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain