Video tular kelibat lembaga putih atas kereta, “Hati-hati memandu” - Semasa | mStar

Video tular kelibat lembaga putih atas kereta, “Hati-hati memandu”

Kli video yang dikongsikan di halaman Facebook 'Viral Media Johor'.

PETALING JAYA: Kecoh di media sosial mengenai kelibat lembaga berkain putih, dengan penyebaran video penampakan entiti itu sejak malam Sabtu.

Menerusi satu video, ia dirakamkan dari sebuah kereta di sebuah jalan pada waktu malam, dikatakan dekat Gunung Pulai, Johor.

“Nampak tak sesuatu? Apa benda tu?,” menurut perbualan dua lelaki yang berada di dalam kereta itu.

“Potong... potong,” kedengaran suara seorang lelaki yang meminta pemandu memintas kereta Perodua Axia merah di hadapan.

Ketika itu kelibat putih tersebut masih kelihatan di atas bumbung kenderaan berkenaan sebelum hilang dari pandangan.

Video yang dikongsi di halaman Facebook ‘Viral Media Johor’ pada lewat malam Sabtu itu bagaimanapun tidak menyatakan sumber dan bila kejadian tersebut berlaku.

Keterangan pada posting yang dimuat naik itu menyebut: “Penampakan entiti... Wallahualam. Katanya kat jalan di Gunung Pulai. Berhati-hati memandu.”

Penampakan kelibat putih itu menimbulkan tanda tanya dengan rata-rata mempersoalkan ketulenan rakaman video tersebut, termasuk objek yang dirakam.

Seorang netizen berpandangan bahawa dalam keadaan menyeramkan itu, perakam masih boleh membuat rakaman dengan baik dan suaranya tidak kedengaran cemas.

“Pertama ni palsu sebab video (dirakam) smooth (lancar) dan suara perakam biasa-biasa saja. Kedua biasanya kereta belakang dah (pasang) lampu tinggi. Tak ‘real’ bro.

“Kalau betul... ‘benda’ dah terbang sekelip mata. Ketiga... kelajuan kereta. Biasanya kereta yang kena ‘tumpang’ tak laju. Ni laju dalam 80km (kilometer). Okay, cuba lagi,” kata Aedy Nas secara sinis, sambil menambah dia pernah merasai pengalaman melihat kain melayang-layang seperti kabus, dengan rambut panjang menutupi muka.

“Bila dah potong, kenapa member (rakan) tu tak rakam pula? Takut ‘kantoi’ bila jarak dekat?,” soal Zairi Zain.

“Eleh membongak... aku lalu jalan Gunung Pulai 3 pagi naik motor. Tak jumpa apa. Yang aku nampak hutan semata-mata. Bukan nak cakap besar. Tapi dah banyak kali aku naik motor lalu jalan tu,” kata Ayie Onizuka.

Pada masa sama, netizen turut berkongsi pengalaman misteri mereka sewaktu memandu di jalan tersebut pada waktu malam.

“Gelap jalan ni, banyak lembu melintas tiba-tiba. Bila tengah malam kalau lalu sini mesti bau busuk yang amat,” kata Yati Abdkadir.

“Aku pernah dengar juga ni. Orang memandu kiri kanan depan belakang, telefon (beritahu) dia tak faham apa. Semua nampak kat atas kereta dia, ‘benda’ tu bertenggek. Ya ampun... menakutkan,” kata Masrifah Binti Ismail.

Selain itu, terdapat netizen menganggap kelibat itu merupakan plastik yang tersangkut di bahagian ‘spoiler’ di belakang kereta.

“Tu kain tersangkut lah. Tak adanya hantu bodoh nak duduk di atas kereta tu diam-diam. Padahal banyak kereta lalu-lalang,” kata Hazmie Faiz Razak.

“Lampin bayi tersangkut,” ujar Haji Khairul membuat andaian bagi merujuk kain putih yang berterbangan ditiup angin.

Antara reaksi dan spekulasi netizen berhubung klip video tular penampakan entiti.

Video yang tular turut mengundang bahan gurauan dalam kalangan netizen, apabila Abu Zarin Abdul Jalil berkata: “Dia (kelibat) nak juga rasa naik kereta baharu. Biarlah... bukan calar pun.” 

“Gilalah, selamba saja dia ‘superman’ atas kereta,” ujar Riduan Mohd Yunus. 

April lalu, kecoh dengan penyebaran sebuah klip video penampakan hantu menyerupai seorang gadis misteri berkebaya merah pada waktu malam di sebuah jalan, sehingga mengundang pelbagai reaksi dan spekulasi.

Namun, ia sebenarnya adalah gimik penerbit filem Dukun, Astro Shaw dengan tujuan untuk ia menjadi tular dalam usaha melakukan kempen mempromosikan filem tersebut yang terperam selama 12 tahun.

hantu , kelibat

Artikel Sebelum

Ahli Umno harus terima realiti 1MDB - KJ

Artikel Berikut

Hadiah Krismas 'Jho Low' melucukan

Artikel Berkaitan