suria

PKR sokong Dr Wan Azizah kekal TPM walaupun bukan presiden

Dr Wan Azizah (kanan) dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Rafizi Ramli selepas menyampaikan ucapan penggulungan sempena Kongres Nasional Keadilan Ke-13, 2018 di Ideal Convenction Centre Shah Alam (IDCC) pada Ahad. - fotoBERNAMA

SHAH ALAM: Perwakilan Kongres Nasional PKR pada Ahad sebulat suara menyokong usul mengekalkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri walaupun beliau bukan lagi presiden parti itu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang membawa usul itu dalam ucapan penggulungannya menjelaskan Resolusi Pakatan Harapan (PH) sudah menyebut bahawa calon Perdana Menteri ialah Tun Dr Mahathir Mohamad, calon timbalannya ialah Dr Wan Azizah dan calon bakal Perdana Menteri kelapan ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Keputusan itu dipersetujui Majlis Presiden PH (ketika membentuk kerajaan) yang menamakan tiga tokoh ini (sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri) tidak (tanpa) diikat dengan jawatan yang disandang dalam parti.

"Dalam Kongres PKR ini saya ingin mengangkat satu usul supaya Dr Wan Azizah Wan Ismail kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri sehingga peralihan kepimpinan negara berlaku pada satu masa yang akan ditetapkan nanti," katanya dalam ucapan penggulungan Kongres Nasional PKR 2018 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini Ahad.

Sejurus usul berkenaan dibacakan oleh Saifuddin Nasution, kesemua perwakilan PKR bangun dan melaungkan 'setuju' sebagai tanda sokongan kepada usul berkenaan.

Saifuddin turut menegaskan kepada perwakilan bahawa keputusan Majlis Presiden PH itu juga tidak menetapkan satu jangka masa peralihan kepimpinan negara sebaliknya memberi sokongan padu kepada Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

"Sokongan tidak berbelah bahagi diberikan kepada Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan bila sampai masanya, PH akan mengangkat Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang kelapan," tegasnya.

Dalam pada itu, Saifuddin turut mengesyorkan usul mendedahkan senarai nama Anggota Parlimen, , Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN), Menteri Besar dan Exco Kerajaan dari PKR yang gagal membuat potongan elaun untuk pembiayaan parti.

"Kewangan parti dijana melalui potongan elaun Anggota Parlimen,ADUN, Anggota Menteri Besar, Exco dan lantikan politik untuk membayar pekerja, sewa pejabat dan menggerakkan semua aktiviti parti.

"Tapi nak membenarkan parti membuat potongan gaji susah, walhal mereka ke hulu ke hilir berkempen pada pemilihan menggunakan duit parti, saya mohon hentikanlah tabiat ini. Saya cadangkan dalam laporan tahunan akan datang, kita pamerkan nama mereka," katanya. - BERNAMA

PKR, Dr Wan Azizah

Artikel Berikut

Artikel Lain