suria

Empat 'Superman' ditahan

KUALA LUMPUR: Empat remaja termasuk dua pelajar sekolah menengah ditahan dalam Operasi Lumba Haram (Op Lumba Haram) selepas didapati menunggang motosikal secara berbahaya dengan melakukan aksi ‘Superman' di dua lokasi di sekitar ibu negara awal pagi Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Zulkefly Yahya berkata mereka ditahan selepas melakukan tindakan itu di persimpangan lampu isyarat Greenwood dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE).

“Semasa operasi bermula 12.30 tengah malam hingga 3 pagi tadi, kami mendapati keempat-empat suspek berusia 16 hingga 19 tahun ini menunggang motosikal dengan melakukan aksi berbahaya dengan mengunjurkan kaki ke belakang.

“Pemeriksaan awal mendapati dua daripada individu yang ditahan merupakan pelajar sekolah menengah di Wangsa Maju dan Selayang dan mereka juga didapati tidak mempunyai lesen kenderaan.

“Pihak kami juga mengeluarkan sembilan saman ke atas mereka atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen dan cukai jalan tamat tempoh,” katanya ketika dihubungi Ahad.

Beliau berkata, pihaknya turut menjalankan Operasi Motosikal (Op Motosikal) di Jalan Pahang, bermula kira-kira 10.30 malam hingga 12.30 tengah malam tadi.

Tambah Zulkefly, sebanyak 85 saman membabitkan pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam operasi itu.

“Tidak mempunyai lesen memandu adalah jumlah kesalahan tertinggi diikuti lesen memandu tamat tempoh, cukai jalan tamat tempoh, tiada nombor pendaftaran, tiada cermin sisi dan tidak menampal pelekat P,” katanya. - BERNAMA

Superman, PDRM

Artikel Sebelum

Artikel Lain