suria

Tumit terkeluar dari kasut, lelaki ini selamba jalan berlenggang pakai 'wedges' ibu, “Kalau high heels pun saya sanggup”

Gara-gara ibu sakit kaki akibat kasutnya ketat, seorang anak sanggup memakai sepatu ibunya itu di pusat beli-belah. Foto ihsan Mohd Amiirul Firdaus Ariffadillah

DARI jauh kelihatan seorang pemuda sedang jalan berlenggang di sebuah pusat beli-belah, dan apabila semakin hampir, nampak jelas dia sebenarnya memakai kasut wanita.

Dia bukanlah lelaki lembut mahupun transgender, namun hanya kerana sepasang kasut wedges yang tersarung di kakinya membuatkan orang di sekeliling menoleh kepadanya berkali-kali.

"Disebabkan ibu aku sakit kaki pakai kasut tumit, maka kesimpulannya aku sayang ibu aku sekian," menurut perkongsian seorang pemuda di laman sosial Twitter sehingga menjadi tular bersama gambarnya sedang memakai kasut baji atau wedges dengan tapak tinggi di eskalator.

Perkongsian seorang anak di Twitter sehingga menjadi tular.

Mohd Amirul Firdaus Ariffadillah berkata, kejadian berlaku pada Hari Raya pertama lalu semasa dia sekeluarga berkunjung ke sebuah pusat beli-belah di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya bayangkan kalau tak sempat...” - Cucu nangis bagai nak gila lihat neneknya tekun suap 6 anak usia lebih 50 tahun

ARTIKEL BERKAITAN: Baru 38 saat ibu nyanyi, anak ‘hati tisu’ tiba-tiba menangis lepas buli abang

ARTIKEL BERKAITAN: “Tanpa malu saya jaja sana sini nak bagi anak-anak makan”, usahawan menangis kenangkan kereta suka duka ditemui semula

Pemuda berusia 23 tahun itu memberitahu, ibunya, Siti Sarah Mustafa, 47, mengadu sakit kaki sebaik memasuki pasar raya itu kerana kasut yang dipakai masih baharu, menjadikan ruang dalamnya agak ketat.

"Masa tu ada saya, ibu, ayah, abang dan adik perempuan yang baru berusia lapan tahun. Cadangnya nak beli selipar untuk gantikan kasut buat ibu, tapi masing-masing nak cepat.

"Sebab kaki saya yang paling kecil, paling sepadan dengan saiz kaki ibu jadi saya beri selipar saya untuk ibu pakai. Saya pula pakai kasut ibu yang ada tumit tu," katanya kepada mStar.

Mohd Amirul (kanan) memakai kasut wedges  sambil menemani ibunya di pusat beli-belah.

Mengakui ia merupakan pengalaman pertama kali memakai kasut wanita sepanjang hidupnya, anak kedua daripada tiga beradik itu berasa janggal berjalan di tempat awam.

Kalau ibu tak pernah berkira untuk menjaga saya semasa saya sakit, kenapa tidak saya pakai kasut ada tapak tinggi untuk tak nak bagi dia sakit. Belum lagi fikir dia sakit masa melahirkan saya.

MOHD AMIRUL

Namun bagi Mohd Amirul, apa yang lebih penting adalah keselesaan ibunya di samping dapat membantu melonggarkan sedikit kasut tersebut apabila dipakai semula oleh ibunya nanti.

"Mula-mulanya memang risau apa orang lain akan kata saya pakai kasut perempuan. Tapi, dia ibu yang saya sayang, siapa lagi kalau bukan saya sebagai anak yang tolong.

"Kalau ibu saya tak pernah berkira untuk menjaga saya semasa saya sakit, kenapa tidak saya pakai kasut ada tapak tinggi untuk tak nak bagi dia sakit. Belum lagi fikir dia sakit masa melahirkan saya, itu memang tak dapat saya bayangkan ," ujarnya.

Aksi spontan Mohd Amirul bersama ibu.

Bermula dari tingkat bawah ke tingkat dua untuk makan bersama keluarga, dia yang menetap di Kulim, Kedah itu terus memakai kasut ibunya sehingga turun semula ke tingkat bawah untuk pulang.

Mohd Amirul kemudian memakai semula selipar miliknya selepas ibunya menyarung kembali kasut wedges berkenaan, tetapi wanita itu hanya mampu bertahan selepas beberapa meter berjalan.

"Masa turun di tingkat bawah, saya pakai semula selipar saya. Tapi, ibu mengadu sakit kaki lagi. Jadi, saya pakai semula kasut ibu sampai ke kereta yang diletakkan di luar pusat beli-belah. Jika dikira, lebih 1 kilometer juga saya pakai kasut wedges ni.

"Saya okay saja, tapi yang kelakar sebab saiz kaki ibu mungkin lima dan saya enam setengah, jadi tumit kaki saya terkeluar sedikit dari kasut. Sebab tu jalan terjengket-jengket," katanya.

Mohd Amirul menganggap pengorbanannya begitu kecil berbanding pengorbanan ibunya membesarkan anak-anak.

Walaupun agak kekok memakai kasut wanita, Mohd Amirul berkata, dia sanggup berkorban demi ibunya yang lebih banyak berkorban untuk dirinya sejak kecil.

"Kalaulah ditakdirkan masa tu ibu pakai kasut tumit tinggi macam high heels sekali pun, saya sanggup pakai sehingga ke kedai kasut untuk gantikan ibu kasut yang lain.

"Saya pakai bukan nak drag jadi wanita tapi sebab kaki ibu sakit. Saya percaya kalau orang lain mengalami situasi macam ni, dia akan buat perkara yang sama untuk ibu dia," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain