Girlfriend tak dapat bantu, bomba jadi penyelamat! Remaja terkunci dedah sebab bawa phone masa mandi - Viral | mStar

Girlfriend tak dapat bantu, bomba jadi penyelamat! Remaja terkunci dedah sebab bawa phone masa mandi

Mohd Aizad (kiri) berkongsi pengalamannya terperangkap di dalam bilik mandi sehingga terpaksa menghubungi bomba. Foto Mohd Aizad

MANDI di bilik air di kediaman sendiri mungkin tiada apa yang perlu dirisaukan, tapi malang tidak berbau apabila ia bertukar kepada satu 'mimpi ngeri'.

Begitulah nasib malang yang menimpa seorang remaja apabila terkunci di dalam bilik air di rumah sendiri selepas mandi, menerusi video yang kini tular di media sosial.

Dia sedaya-upaya menendang pintu bilik mandi apabila tombol pintunya rosak, sebelum diselamatkan oleh pasukan bomba dan penyelamat yang memecahkan pintu.

ARTIKEL BERKAITAN: Penumpang tersembur air liur tengok bomba di belakang kereta, “Ingatkan siren lagu Blackpink”

ARTIKEL BERKAITAN: "Rasa bersalah sangat" - Individu komen ‘bomba tak cukup ilmu’ mohon maaf

Paparan skrin video menunjukkan Mohd Aizad terperangkap di dalam bilik mandi sehingga diselamatkan oleh pasukan bomba.

Pemuda berkenaan, Mohd Aizad Hafeez Azwan berkata, kejadian berlaku di bilik mandi di dalam bilik tidurnya di kediaman dua tingkat di Shah Alam pada petang Khamis.

Remaja berusia 17 tahun itu tinggal bersama datuk dan neneknya tetapi ketika insiden, kedua-duanya tiada di rumah kerana pergi ke surau berdekatan.

"Balik dari sekolah, saya pergi ke bilik air untuk mandi pada kira-kira 2.30 petang. Saya selesai mandi kira-kira 40 minit kemudian, bila nak keluar tak boleh sebab pintu terkunci.

"Pintu bilik tu memang dah lama rosak, tapi sebelum ini hanya terkunci dari luar, jadi biasanya saya tendang pintu. Cuma kali ni saya tidak bernasib baik kerana terkunci dari dalam," katanya kepada mStar.

Membuat panggilan kecemasan merupakan jalan terakhir.

Mohd Aizad mendedahkan pelbagai cara seperti menendang pintu beberapa kali dan mengupilnya menggunakan sudu yang dijumpai di dalam bilik mandi, tetapi tidak berjaya.

"Saya juga hentak pintu menggunakan tangan tetapi tidak dapat melakukannya begitu kuat kerana baru sembuh daripada kecederaan bahu akibat terjatuh longkang baru-baru ini.

"Saya menjerit minta tolong dengan harapan ada yang dengar. Tapi mungkin sebab bilik air ni di dalam bilik tidur di tingkat atas, jadi mungkin tak ada yang dapat dengar," ujarnya.

Saya memang selalu bawa telefon masuk ke bilik air sebab nak dengar lagu dan tengok media sosial masa mandi, buang air kecil atau besar, bukannya sebab buat benda tak senonoh seperti yang difikirkan netizen.

MOHD AIZAD

Mujur anak tunggal itu membawa telefon bimbit masuk ke bilik mandi tetapi tiada kad sim yang membolehkannya untuk menghubungi datuk, nenek, jiran atau rakan terdekat.

"Saya memang selalu bawa telefon masuk ke bilik air sebab nak dengar lagu dan tengok media sosial masa mandi, buang air kecil atau besar, bukannya sebab buat benda tak senonoh seperti yang difikirkan netizen.

"Tapi telefon ni tak ada kad sim, hanya bergantung pada WiFi. Satu lagi telefon pula di bilik tidur. Saya DM (mesej secara terus) girlfriend saya menerusi Instagram untuk minta bantuan dia untuk mesej nenek, tapi dia ketika itu dalam kelas tambahan di sekolah," katanya.

Ketika kejadian, Mohd Aizad baru pulang ke rumah dari sekolah.

Selepas hampir sejam terperangkap di dalam bilik mandi, Mohd Aizad akhirnya membuat keputusan untuk membuat panggilan kecemasan.

"Walaupun tanpa kad sim, saya masih boleh buat panggilan kecemasan. Panggilan dibuat pada pukul 4.11 petang dan bomba datang kira-kira 20 minit kemudian.

"Bila saya keluar dari bilik air selepas pintu dipecahkan pada kira-kira pukul 5 petang, saya hanya mampu salam dengan abang-abang bomba dan ucapkan terima kasih. Tak boleh nak fikir apa sebab malu sangat," katanya. 

Mohd Aizad sering membawa telefon bimbitnya ke mana-mana termasuk bilik mandi.

Pasukan bomba yang terdiri daripada lima anggota tiba semasa datuk dan neneknya baru pulang ke rumah, membuatkan mereka terkejut dengan kehadiran pasukan keselamatan.

Mohd Aizad menjelaskan bahawa rakaman dibuat untuk dijadikan bukti dirinya terperangkap di dalam bilik mandi selama kira-kira dua setengah jam.

"Jangan fikir bawa telefon dalam bilik mandi je sebab nak buat atau rakam tak senonoh. Tapi bila jadi kecemasan macam ni, telefon tu lah ada kegunaan untuk kita semua," katanya.

Artikel Lain