suria

"Tulis Ribena tapi ayaq anggur biasa...ceroi!"- Pengguna tambah bengang harga pula tak munasabah

MUFTI Wilayah Persekutuan baru-baru ini menjawab persoalan mengenai tindakan peniaga yang menukarkan produk minuman Milo dengan serbuk coklat yang lebih murah harganya semata-mata untuk mengaut keuntungan lebih.

Terbaharu, satu insiden seumpamanya dialami seorang pengguna yang mendakwa mempergunakan jenama jus minuman perisa anggur terkenal, Ribena dengan jus buah-buahan jenama lain.

Malah, minuman tersebut turut didakwa dijual pada harga yang tidak munasabah.

“Tulis Ribena tapi ayaq (air) anggur biasa... ceroi (cair). Harga RM3 sedih betul. Gamak noh juai lagu ni,” kata seorang pengguna menerusi perkongsian di laman sosial sehingga tular.

Perkongsian Farhana di laman sosial mengenai air minuman perisa anggur.

Pengguna berkenaan, Siti Nur Farhana Idrus berkata, minuman yang kononnya berperisa anggur Ribena itu dijual di salah sebuah gerai di sebuah pesta yang berlangsung di Kangar, Perlis pada Ahad lalu.

Pelanggan berusia 29 tahun itu menjelaskan bahawa air yang dibeli oleh adik perempuannya diambil daripada salah satu balang besar air minuman di gerai tersebut.

“Biasalah air minuman dalam balang-balang besar di gerai. Air yang dibeli adik dalam balang yang ada tulis perkataan Ribena, siap ada letak botol minuman Ribena.

“Bila saya minum, rasa tak macam Ribena. Saya ni penggemar minuman Ribena. Tapi saya cuma rasa perisa anggur biasa. Sangat kecewa,” katanya dengan nada kesal kepada mStar Online.

Lebih mesra dengan panggilan Farhana, ibu dua anak ini turut kesal kerana harga yang dijual peniaga terbabit lebih tinggi berbanding kebiasaan dijual di negeri itu.

“Biasanya kalau air macam ni yang dijual di gerai-gerai, sekitar RM2. Tapi peniaga tu jual RM3. Bagi saya, harga tu agak tinggi.

“Mungkin harga lebih tinggi sebab buka gerai di pesta. Tapi kalau naik harga sebab pergunakan nama Ribena tak patut lah,” kata yang menetap di Kangar.

Satu lagi perkongsian Farhana susulan maklum balas netizen.

Sehubungan itu, Farhana yang merupakan peniaga produk pewangi meminta pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) agar melakukan pemantauan terutama gerai-gerai yang beroperasi di pesta atau acara secara bermusim.

“Saya juga berharap peniaga-peniaga bersikap jujur bila berniaga. Janganlah hanya kerana jenama sesuatu produk tu popular, kamu gunakan taktik untuk jual minuman lain yang jenis sama.

“Memang hari tu kalau boleh saya nak buat aduan, tapi saya bagi nasihat dulu dalam grup Facebook peniaga. Tujuan saya kongsi pun untuk nasihat supaya mereka jujur,” katanya sambil menambah dia tidak mempunyai maklumat lengkap berhubung insiden untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa. 

Terdahulu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberitahu hukum menukarkan serbuk jenama itu kepada serbuk coklat yang lebih murah tanpa pengetahuan pelanggan adalah dilarang dan berdosa.

Jelas beliau, terdapat unsur penindasan dan kezaliman terhadap hak yang sepatutnya diterima oleh pembeli sebagai imbalan kepada harga pembelian yang dibayar. 

“Selain itu, syarat sah jual beli juga ialah, kedua-dua pihak (penjual dan pembeli) mengetahui secara jelas barang yang diniagakan tanpa menyembunyikan apa-apa aib yang ada pada barangan yang diniagakan itu. 

“Justeru, sekiranya perkara-perkara seperti itu berlaku, maka penjual dikira telah menipu dan akad pembelian tersebut tidak sah,” ujar Mutfi dalam satu kenyataan.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Milo, Ribena

Artikel Lain