suria

"Dia dengan lelaki lain do..." - Pemuda 'frust' ditinggal awek, BFF bukan saja pujuk tapi menyakat sekali!

Gambar hiasan 'Crying Men'. Foto kredit: Sam Taylor-Wood

LELAKI jarang sekali dikaitkan dengan istilah meroyan akibat putus cinta kerana golongan ini lebih suka mengambil jalan berdiam diri, cuba melupakan kesedihan dengan cara tersendiri.

Di saat duka-lara inilah bahu kawan baik diperlukan untuk menghilangkan rasa sedih dan kecewa gara-gara putus cinta. Sukar untuk melihat seorang lelaki menangis, namun sebagai manusia biasa pasti ada yang kecundang jua.

Sebuah video seorang lelaki dipujuk rakan baiknya menjadi tular di media sosial gara-gara situasi ini jarang berlaku.

Menurut Muhammad Syafiq Danial,21, rakaman yang dibuatnya itu tanpa disedari rakannya yang sedang bersedih.

"Kawan saya baru putus cinta. Sebelum ini dia tak pernah berkongsi masalah dengan buah hatinya. Apabila saya tanya, jawabnya semua okay.

"Tetapi sejak seminggu dua ni saya memang perasan mukanya agak sedih dan jarang bercakap.

"Dia ni jenis yang tidak suka berkongsi masalah. Kami berkawan baik sejak sekolah rendah lagi, memang dah tahu perangainya," ujar Danial berkongsi cerita kepada mStar Online.

Jelas Danial pada malam kejadian, rakannya itu ada menghubungi untuk meminta mengambilnya di Ampang.

"Saya bersama seorang lagi kawan pergi ke tempatnya.

"Mukanya memang nampak sedih. Bila tanya mana 'girlfriend', dia jawab 'dah ada orang lain'.

"Sebenarnya mereka sudah beberapa bulan tidak berhubung antara satu sama lain. Wanita itu missing in action. Jenuh kawan saya ni cuba carinya.

"Selepas mendapat maklumat daripada adik wanita itu, kawan saya ni pergilah ke Ampang, konon nak buat surprise sebab 3 Mac tu ulang tahun percintaan mereka.

"Tetapi kejutan lain yang dia terima. Rupanya wanita tu dah ada teman lelaki lain. 

"Malam itu jugalah kami tahu kisah sebenarnya.

"Apabila masuk kereta, saya memang ada pasang lagu-lagu jiwang. Kebetulan lagu Ungu - 'Andai Aku Bisa' sedang berkumandang.

"Saya perasan dia seperti gosok-gosok mata. Saya dan seorang lagi kawan yang duduk di bahagian belakang mula menyakat dia.

"Saya pujuk dia sambil sambil tarik dia ke bahu saya.

"Dan ketika itulah dia cakap "dia dengan lelaki lain do", dan menangis," ujarnya.

Tambah Danial, dia tidak mahu kawannya itu terus bersedih dan cuba membuat lawak serta mengusiknya.

Sebahagian komen-komen netizen yang supportive

"Kami cuba memujuknya, dan sekarang selepas beberapa hari saya tengok dia sudah ada selera makan dan berborak-borak.

"Sebagai kawan baik, saya tidak mahu dia terus rasa sedih dan cuba membantunya.

"Selepas beberapa hari baru dia tahu video tersebut telah tersebar.

"Dia hanya tergelak kerana bagi saya video itu sekadar untuk menyakatnya sahaja," kata Danial.

Video tersebut yang mendapat ulang kicau (retweet) 26,000 turut menerima pelbagai komen daripada netizen.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Pujuk kawan baik, putus cinta