suria

“Adakah pemanduan saya begitu teruk?” - Pelajar tergamam, cikgu sekolah memandu buat gangguan seksual

Syazwani trauma dengan gangguan seksual yang berlaku kepadanya.

PERKONGSIAN seorang gadis tentang gangguan seksual yang dialaminya di sebuah sekolah memandu meraih perhatian netizen sehingga ia tular di media sosial.

Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Shah Alam itu merayu kepada pengguna Twitter dan Facebook untuk mencari mangsa lain bagi mengukuhkan lagi dakwaan yang dibuat ke atas seorang guru memandu.

Syazwani Aqilah, 18, mendakwa lelaki yang dipanggil Cikgu Rosli itu meraba, mengeluarkan lawak lucah dan mengajaknya keluar menonton wayang selepas habis sesi belajar memandu.

Posting tersebut diulang kicau lebih 8,200 kali dan menerima lebih 2,300 tanda suka di Twitter sejak ia dimuat naik pada Jumaat.

"Saya rasa pelik. Adakah cara pemanduan saya terlalu teruk sehingga cikgu itu perlu menyentuh tangan saya dengan kerap ketika saya memegang stereng?

"Kemudian, Cikgu Rosli meraba saya ketika saya melakukan rutin pemeriksaan, saya dapat rasa tangan dia ketika saya terpaksa membongkok untuk menarik but kereta," katanya ketika dihubungi mStar Online.


Posting yang dimuat naik oleh Syazwani Aqilah berhubung insiden itu.

Tidak cukup dengan itu, lelaki tersebut turut didakwa 'memicit' paha Syazwani Aqilah sehingga memaksa gadis itu memandu dengan laju.

Tambahnya, guru terbabit mengugut untuk menggigit lehernya jika 'buat perangai' sewaktu sedang memandu.

Buntu dengan situasi itu, Syazwani Aqilah bertanya kepada rakannya sama ada mereka juga disentuh oleh tenaga pengajar semasa sesi latihan.

Gadis tersebut tergamam sewaktu serangan seksual itu berlaku dan tidak tahu apa yang harus dilakukannya memandangkan ketika itu tiada orang lain di tempat kejadian.

Saya rasa pelik. Adakah cara pemanduan saya terlalu teruk sehingga cikgu itu perlu menyentuh tangan saya dengan kerap ketika saya memegang stereng?

SYAZWANI AQILAH

Ketika ditanya mengenai tindakannya yang lewat memaklumkan mengenai insiden itu kepada pihak polis, Syazwani Aqilah berkata, dia ingin menunggu sehingga ibunya pulang dari tugasan luar sebelum melakukan sebarang tindakan.

"Masa hari kejadian, ibu saya bertugas di luar kawasan dan saya kena tunggu dia pulang.

"Selepas ibu pulang, barulah kami pergi buat laporan polis," ujarnya yang masih trauma dengan insiden tersebut.

Syazwani juga tidak membuat aduan kepada pihak pengurusan sekolah memandu yang terletak di Jenjarum itu kerana tidak yakin aduannya akan didengari.

Jelasnya, Cikgu Rosli merupakan guru memandu kedua yang mengajarnya selepas memohon pertukaran tenaga pengajar sebelum ini.

"Sebelum ni saya belajar dengan cikgu lain, tapi sebab saya tak faham tentang apa yang diajar, saya mohon untuk tukar cikgu.

"Tapi, pihak pengurusan tidak melayan saya dengan baik dan bersikap sombong. Jadi, saya fikir mereka tidak akan layan aduan saya jika saya beritahu Cikgu Rosli buat serangan seksual," katanya.

Perkembangan terkini, Syazwani Aqilah mendakwa bahawa guru memandu berkenaan sudah ditahan oleh pihak polis untuk siasatan lanjut.

Selepas posting tersebut tular, beberapa pelajar dari sekolah memandu tersebut turut menghubungi Syazwani Aqilah untuk memberitahu bahawa mereka pernah mengalami situasi sama.

Gadis tersebut beranggapan tiada tindakan diambil oleh pihak pengurusan memandangkan serangan seksual masih berlaku di sekolah memandu tersebut.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
sekolah memandu, Syazwani Aqilah

Artikel Lain