suria

Kejutan air mata di hari lahir, ibu akhirnya dedah rahsia bertarung nyawa ketika bersalin 21 tahun lalu

APABILA tibanya sambutan ulang tahun kelahiran, kita biasanya akan menerima pelbagai kejutan yang menggembirakan.

Namun, lain pula ceritanya bagi seorang pelajar apabila rahsia yang disimpan kemas oleh ibunya selama 21 tahun 'terbongkar' pada tarikh keramat itu.

Menerusi perkongsian di Twitter, Muhammad Ridwan Abdul Rauf memuat naik paparan skrin (screenshot) ucapan ibunya yang cukup meruntun jiwa.

Dedah ibunya, Rozita Mohd Nor, dia kehilangan rahim sewaktu melahirkan Ridwan dan menunggu selama 21 tahun untuk mendedahkan pengalaman perit itu kepada anaknya.

Bercerita kepada mStar Online, Ridwan mengakui tidak dapat menahan air mata tatkala menerima ucapan berkenaan pada 23 Februari lalu.

"Masa tu ibu saya keluar, saya ada kat rumah. Saya baru bangun tidur apabila dapat mesej tu.

"Terkejut bercampur sedih, saya tanya diri sendiri, betul ke? Ingatkan sedang bermimpi.

"Saya menangis masa mula-mula baca sebab tak pernah tahu pasal benda ni," ujar Ridwan pada Rabu.

Tambah penuntut Politeknik Merlimau, Melaka itu, ibunya yang juga guru tadika di Temerloh, Pahang ada memberi bayangan mengenai perkara itu sebelum tibanya hari tersebut.

Paparan skrin ucapan ibunya yang dimuat naik ke laman Twitter milik Ridwan.

Namun, dia sama sekali tidak menyangka ia merupakan kisah pengorbanan ibunya sewaktu melahirkannya.

"Dia ada bagi hint sebelum hari lahir saya, macam nak beritahu sesuatu.

"Ibu cakap saya dah cukup besar untuk tahu mengenai satu perkara," ujarnya lagi.

Menerusi ucapan itu, wanita berusia 47 tahun itu mendedahkan dia hampir kehilangan nyawa kerana pendarahan teruk sewaktu melahirkan Ridwan.

Tambah Rozita, doktor terpaksa membuang rahimnya yang hancur untuk menghentikan pendarahan pada waktu itu.

Akibatnya, Rozita hanya dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ridwan dan abangnya, Muhammad Syafiq, 24.

Ridwan diapit bapanya, Abdul Rauf dan Rozita pada sambutan hari lahir, 23 Februari lalu.

Dalam pada itu, Ridwan mengakui ucapan itu memberi kesedaran untuk dia lebih menghargai ibunya pada masa akan datang.

"Saya sedang belajar, jadi kami tak tinggal sama. Selepas peristiwa tu, saya lebih kerap berhubung dengan ibu.

"Saya sayang ibu dan berterima kasih atas pengorbanannya. Saya nak ikut cakap dia dan jadi lebih baik," ujarnya yang turut berazam membawa ibunya ke Makkah, suatu hari nanti.

Selain menerima ucapan panjang yang menyentuh hatinya itu, Ridwan turut diraikan oleh ibunya dalam satu sambutan hari lahir, pada hari berkenaan.

Tweet perkongsian Ridwan menerima lebih 20,000 ulang kicau (Retweet) dan turut dibanjiri dengan komen netizen.

"Bergenang air mata kita. Semoga Allah selalu merahmati ibu awak," tulis @ErrieShahImran.

"Happy Birthday Bro. Jangan sesekali kecewakan mak, jaga mak elok-elok, jangan buat mak sedih nangis semua," tulis seorang lagi pelayar Twitter.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain