suria

“Saya yang hantar dia pergi rumah barunya” - 'Anak ayah' mimpi kain kapan sebelum bapa benar-benar tiada

Lidiya sekeluarga masih tidak percaya dengan pemergian ayahnya secara mengejut. Foto ihsan Nur Lidiya Zulhelmi.

SEORANG gadis tidak menduga mimpi melihat bapanya sedang dikapankan menjadi petanda dia benar-benar meninggalkan mereka sekeluarga.

Menurut Nur Lidiya Zulhelmi, dia bermimpi mengenai kejadian itu pada hari bapanya tidak sedarkan diri, 29 Januari lalu.

"Malam sebelum ayah meninggal tiba-tiba saya mimpi dia dikapankan. Tapi sebelum dia dikapankan dia kata kat saya supaya jaga diri, adik-beradik lain dan mama... abah pergi dulu.

"Dalam mimpi tu, sewaktu dia dikapankan tiba-tiba mama kejutkan saya dan kakak beritahu ayah tak sedar. Kalau tak silap saya masa tu pukul 5 pagi," katanya kepada mStar Online.

Jelas anak kedua dari empat adik- beradik itu, dia terus bergegas pergi ke bilik kedua ibu bapanya untuk melihat keadaan bapanya.

Ayah Lidiya dikebumikan pada hari yang sama, 29 Januari lalu.

"Dalam keadaan panik, saya terus masuk ke bilik ibu bapa saya. Saya lihat ayah sedang baring atas sejadah.

"Kedua-dua tangan dia macam tengah duduk antara dua sujud dan dia banyak kali kata dia amat letih," katanya.

Nur Lidiya atau lebih mesra disapa Lidiya berkata mereka terus menghubungi ahli keluarga terdekat selepas panik melihat keadaan bapanya.

"Kami call semua saudara terdekat. Kemudian ada jiran datang memberikan bantuan kecemasan resusitasi kardiopulmonari (CPR).

"Masa tu nampak macam darah berjalan dekat tangan ayah jadi hati tu dah lega sedikit. Lepas tu kami bawa sendiri ayah ke KPJ Shah Alam sebab ambulans sampai lambat," katanya.

Bagaimanapun Lidiya berkata mereka sekeluarga terkejut apabila doktor mengesahkan bapanya sudah tiada.

Ayah pun excited nak hantar saya pergi kerja esoknya tapi tak sangka saya pula yang hantar dia pergi rumah barunya.

NUR LIDIYA ZULHELMI

Anak kedua dari empat beradik.

"Masa tu hati saya retak... tak tahu nak react macam mana. Tak sangka ayah pergi secara mengejut. Ayah tak tunjuk apa-apa tanda pun.

"Sebelum tu ayah sihat je. Tapi dia memang ada masalah jantung sejak kecil dan dia ada doktor peribadi," katanya.

Lidiya berkata hasil bedah siasat menunjukkan bapanya meninggal akibat saluran darah ke jantung tersumbat.

"Lepas buat post mortem barulah kami tahu jantung ayah saya tersumbat. Jadi oksigen tak sampai ke jantung. Tapi muka ayah tenang je.

"Saya dah keluarga reda dengan pemergiannya. Namun saya masih tak percaya dia pergi empat bulan selepas atok kesayangan saya meninggal," katanya.

Tambah Lidiya lagi, dia yang amat rapat dengan arwah berasa terkilan kerana hasrat bapanya untuk menghantar dia ke tempat kerja keesokan harinya tidak kesampaian.

"Sebenarnya ayah baru sampai dari Indonesia kira-kira pukul 8 malam. Dia ada urusan kerja di sana selama 12 hari. Saya kerja sampai malam, lepas tu dia yang ambil saya (balik kerja).

"Dalam kereta dia seronok sangat bincang dengan saya tanya nanti saya nak sambung belajar kat mana sebab saya baru je habis SPM.


Posting Lidiya menjadi tular di Twitter.

"Ayah pun excited nak hantar saya pergi kerja esoknya tetapi tak sangka saya pula yang hantar dia pergi rumah baharunya," katanya sebak.

Ditanya mengenai kenangan terakhir bersama bapanya, Lidiya berkata lelaki itu meminta dia dan ibu untuk mengurutnya.

"Saya dan mama urut ayah sebab dia kata kepala dia pening sangat dan badannya sakit. Tapi masa tu tak ada tanda-tanda yang dia nak pergi.

"Sebelum itu ayah hanya tidur biasa. Lepas tu dia bangun untuk solat sebelum tidak sedarkan diri," katanya yang menyifatkan bapanya sebagai orang yang tenang dan sentiasa tersenyum.

Lidiya berkongsi kisah pemergian bapanya, Zulhelmi Salam, 47, dalam satu posting di Twitternya pada 29 Januari lalu.

Posting tersebut menjadi tular dan diulang kicau hampir 13,000 kali.

Rata-rata netizen bersimpati dengan Lidiya dan mengucapkan takziah di atas kehilangan bapa tercinta.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
meninggal, bapa, sejadah

Artikel Lain