“Maryam sayang, kalau sakit tak payah tahan. Pergilah… ibu reda” - Viral | mStar

“Maryam sayang, kalau sakit tak payah tahan. Pergilah… ibu reda”

Gambar yang dikongsikan Nurul Nadia di laman sosial Facebook, miliknya.

BAGI mereka yang berkahwin, kelahiran anak sulung sudah tentu paling dinantikan sebagai bukti ikatan cinta pasangan suami isteri.

Begitulah juga buat pasangan, Muhammad Nur Ifwat Ishak dan Nurul Nadia Ismail, 25.  

Mengetahui diri hamil, pastinya menjadi detik terindah buat Nurul Nadia malah sepanjang mengandungkan anak sulung itu, tiada sebarang masalah dialaminya.

Namun tanpa diduga, ketika usia kandungan mencecah 26 minggu, ibu muda ini dikhabarkan dengan berita kekurangan air ketuban.

"Dengan air ketuban yang sikit pada mulanya dan ada bengkak dalam perut. Kemudian makin lama air ketuban makin tiada. Sampai paras tiada langsung air ketuban.

“Namun, akhirnya, selamat bersalin ketika usia kandungan baharu berusia 33 minggu secara normal, pada 2 Disember lalu, jam 2.17 pagi walaupun jangkaan sebenar pada 14 Januari 2019.

"Meskipun pada mulanya dicadangkan secara pembedahan tetapi disebabkan sudah keluar tanda bersalin lagi awal. Dan bayi sudah ada di laluan. Bukaan pun sudah 2 cm. Doktor kata, dalam kes saya, 10 orang yang cuba bersalin normal hanya seorang sahaja yang berjaya. Alhamdulillah, ALLAH mudahkan segalanya," kongsi Nurul Nadia di laman sosial Facebook, miliknya.

Menurut Nurul Nadia, doktor memaklumkan bayinya yang dinamakan Maryam itu mengalami potter syndrome, di mana nisbah sindrom ini hanya satu dalam 30,000 kes.

Ia bukan genetik, bukan juga masalah kromosom namun doktor memberitahu, Maryam mungkin hanya mampu bertahan beberapa jam sahaja selepas dilahirkan.

Allahuakbar! Hati ibu dan ayah mana yang tidak sedih dan sayu akan perkhabaran duka ini.

“Pukul 7 pagi doktor memaklumkan, Maryam memberikan respons positif apabila dimasukkan oksigen.      

“Alhamdulillah. Ibu cukup bersyukur sebab (ibu) nak jumpa anak (ibu). Anak ibu yang kuat ini. Akhirnya lama menunggu, pukul 11.30 pagi, (ibu) dapat berjumpa Maryam.

“Cantiknya anak ibu. Subhanallah putih comel. Tapi, kata doktor, Maryam tak boleh bertahan lama, paru-paru Maryam sudah bocor," katanya lagi.

Kuasa Allah, Maryam dapat berjumpa dengan semua orang termasuk nenek juga pakcik dan makciknya.

Kongsi Nurul Nadia, sekitar jam 8 malam, dia mengalami demam menggigil disebabkan kurang rehat sejak melahirkan Maryam.

Pada awal pagi esoknya, dia terjaga dari tidur dan terdetik di dalam hati, apalah khabar anaknya itu.

"Maryam sayang, kalau sakit tak payah tahan. Pergilah… ibu reda. Selepas itu, jururawat beritahu, Unit Penjagaan Rapi Neonatal (NICU) nak jumpa ibu. Maryam dengar apa ibu cakapkan.

"Bila ibu sampai, denyutan jantung Maryam sudah turun. Ibu cakap, Maryam tunggulah ayah. Ayah datang tu. Itulah pertama kali ibu dapat peluk Maryam dengan ada banyak wayar yang berat.

“Sakit mulut anak ibu kan. Bila ayah datang, denyutan jantung  Maryam jadi stabil balik. Manja dengan ayah ini. Ibu bagi ayah pegang pulak. Sebab tangan ibu dah lenguh," katanya.

Menurut Nurul Nadia, dia tertidur di situ hinggalah dikejutkan oleh jururawat pada pukul 3.35 pagi.

"Puan anak dah tak ada (puan). Luluh hati ibu.

"Terima kasih Maryam untuk 24 jam yang ada. Ibu Reda," tulisnya lagi. - Sinar Harian

Maryam

Lebih Artikel