suria

Sendirian di ofis, jam 8.30 malam kerusi bergerak sendiri, "Saya letak cermin tapi asyik jatuh, bila letak kamera..."

Kerusi dalam bulatan merah yang didakwa bergerak sendiri dalam video yang tular. FOTO: Twitter @NasirPasir

RAKAMAN video seorang lelaki yang kononnya mengalami gangguan mistik menarik perhatian ramai setelah ia ditularkan rakannya di laman Twitter.

Menerusi video tersebut, lelaki berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Zain dilihat sedang bekerja sendirian di pejabat dan berjaya merakam kerusi kosong di belakangnya yang bergerak.

Ketika dihubungi mStar Online, Zain mengakui lelaki dalam video itu adalah dirinya dan kejadian tersebut berlaku pada Jumaat lalu.

Jelasnya lagi, dia bertindak membuat rakaman video kerana berasa tidak sedap hati sewaktu bersendirian di pejabat sekitar pukul 8.30 malam.

"Sebenarnya ada orang pernah cerita pasal gangguan di pejabat ni. Tapi itu kali pertama saya kena sendiri.

"Saya rasa tak sedap hati, mula-mula saya letak cermin tapi ia asyik jatuh, jadi saya letakkan kamera pula.

"Tak perasan pun waktu ia berlaku, dalam perjalanan balik, saya tonton semula video tu dan baru perasan kerusi bergerak sendiri," katanya pada Jumaat.

Posting mengenai video berkenaan yang tular di Twitter.

Menurut Zain, pengalaman menyeramkan itu turut membuatkan dia serik untuk bekerja sehingga lewat malam, lebih-lebih lagi jika dia bersendirian.

Malah, dia juga menolak tanggapan segelintir pihak yang menganggap dia menyunting video berkenaan untuk tujuan yang tidak masuk akal.

"Memang serik nak kerja malam lepas ni, kalau seorang diri saya cuba elakkan. Tapi ada sesetengah hal melibatkan kerja saya, ia hanya boleh dilakukan di pejabat sahaja.

"Ada juga yang bergurau cakap saya edit video tu sebagai alasan untuk pulang kerja awal. Saya pun tak ada niat nak viralkan, kawan saya yang share di Twitter," katanya lagi.

Dalam pada itu, video berkenaan yang dimuat naik pada Selasa lalu menerima hampir 15,000 ulang kicau (retweet).

Malah, perkongsian oleh @NasirPasir itu turut dihujani dengan komen orang ramai.

"Biasalah tu jin syaitan kan perangai memang suka mengacau," tulis @TaqimMuss.

"Aku selalu dengar bunyi je... Kadang-kadang balik dari site pukul 2-3 pagi, nak drop barang kat opis mesti ada bunyi kat pantri.. Tak taulah kot niat dia nak bancuh kopi.. Tau-tau aku penat," kongsi @wan_xxlala pula.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
balik lewat, seram, pejabat, gangguan

Artikel Lain