Arkitek terkejut masuk pantri! Nak minum air ada cabaran, silap langkah boleh 'mandi kopi' - Viral | mStar

Arkitek terkejut masuk pantri! Nak minum air ada cabaran, silap langkah boleh 'mandi kopi'

Kebanyakan staf wanita di sebuah firma arkitek berdepan 'cabaran' setiap kali mahu menggunakan penapis air di pantri. Foto ihsan Azlan Shah

PETALING JAYA: Rare dan unik! Kata-kata ini tepat bagi menggambarkan idea susun letak sebuah penapis air yang tidak pernah terfikir dek akal.

Penapis air tersebut yang direka bentuk untuk diletakkan di atas lantai bagaimanapun 'berdiri megah' di atas kabinet dapur di dalam pantri sebuah firma arkitek.

Gambar 'rare' itu dikongsi oleh seorang kakitangan di firma berkenaan, Azlan Shah Abdul Hamid di Twitternya sehingga mendapat perhatian netizen.

Gambar dengan kapsyen 'Barangkali siapa yang pendek akan mati dahaga' itu diulang kicau (retweet) lebih 23,000 kali dan mendapat lebih 9,000 tanda suka.

Menurut Azlan Shah yang juga arkitek di syarikat itu, dia terpanggil untuk berkongsi gambar berkenaan kerana menganggap susun atur penapis air itu unik dan melucukan.

"Tiada niat lain. Saya saja nak kongsi gambar tersebut sekadar untuk suka-suka sebab saya rasa macam kelakar.

"Lagipun saya rasa tak pernah lagi orang buat macam ni. Pertama kali jumpa situasi begini," katanya kepada mStar Online.

Arkitek reka bentuk berusia 22 tahun itu berkata pada awalnya agak sukar untuk dia dan rakan-rakannya mengambil air dari penapis air tersebut kerana kedudukannya yang terlalu tinggi.

Posting Azlan tular di Twitter.

"Masa mula-mula masuk firma ini, saya pergi pantri nak ambil air, agak terkejut juga bila tengok keadaan penapis air tu tinggi sangat. Tapi dah lama-lama tu jadi biasa.

"Tiap kali nak ambil air akan ada cabaran. Kita kena guna kebolehan untuk meneka sama air sudah penuh dalam cawan atau tidak.

"Pernah ada yang mandi kopi tapi tak adalah sampai basah lencun, cuma sekadar terkena percikan air panas yang sudah melimpah keluar cawan," katanya.

Namun Azlan Shah berkata dia amat bersimpati terhadap kakitangan wanita di pejabatnya ketika mahu menggunakan penapis air itu.

"Paling kesian dekat staf perempuan sebab staf lelaki di firma kami semuanya tinggi-tinggi," katanya.

Menurut jejaka dari Selayang itu, penapis air tersebut diletakkan di atas kabinet dapur kerana mahu menjimatkan ruang dalam pantri.

"Sebenarnya penapis air tu dah lama kat atas tu (kabinet dapur), sebelum saya masuk kerja di firma ini lagi.

"Kalau nak ikutkan ruang pantri, tu mungkin cara tersebut dilakukan kerana nak jimat ruang yang ada," katanya.

Antara komen netizen yang terhibur dengan posting tersebut.

Rata-rata netizen turut terhibur dengan tweet tersebut.

IsmiShafiqII berkata,"Dia nak air keluar serupa air terjun kot, tu buat tinggi-tinggi."

Nurfarhanav berkata:"Aku syak kena panjatlah kalau nak minum. Hahaha."

penapis air , arkitek

Lebih Artikel

Coklat tumpah, panggil bomba!