suria

ATM larang guna pantun... Netizen pertikai, sasterawan, pejuang bahasa tak melatah!

Dr Lim Swee Tin

PETALING JAYA: Keputusan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melarang penggunaan pantun di dalam skrip juruacara majlis rasmi ketenteraan mendapat pelbagai maklum balas daripada segenap lapisan masyarakat.

Sebahagian netizen mempertikaikan larangan tersebut, namun pecinta bahasa berpandangan arahan tersebut dibuat berdasarkan kepentingan dan kesesuaian.

Salah seorang pengguna Twitter telah membuat ulang kicau (retweet) mengenai arahan tersebut yang dikeluarkan oleh ATM, pada Jumaat.

"So kalau guna pantun jadi tak berdisiplin ke? Guna pantun langgar etika? Kenapa? Sebab pantun buat jantan gah nampak lembik?

"Atas alasan apakah? Tidaklah ini umpama membunuh budaya sendiri secara halus? Sedangkan sepatutnya digalakkan sama ada majlis rasmi atau tidak," tulisnya.


Bagaimanapun sasterawan dan pejuang bahasa, Dr Lim Swee Tin berkata keputusan ATM itu dibuat berdasarkan situasi dan kepentingan.

"Sebagai pecinta budaya dan pantun saya tidak mengaanggap itu sebagai halangan untuk mengembangkan budaya pantun. Kita sendiri perlu faham majlis-majlis rasmi yang dihadiri Yang di-Pertuan Agong, raja-raja atau pembesar negeri mempunyai keterbatasan masa.

"Kita sebagai rakyat perlu menerima keputusan itu dengan positif. Bagi saya budaya pantun boleh disampaikan dalam banyak situasi yang berbeza.

"Malah saya juga fikir pantun ini merupakan kesenian karya yang halus dan pengertiannya meresap ke dalam jiwa.

"Saya mengambil contoh, dalam perbarisan dengan keadaan panas, tak sesuai untuk menggunakan pantun. Jadi terdapat kewajaran yang diambil di situ.

"Pantun melambangkan jati diri pujangga yang lembut dan penggunaan dalam situasi tersebut boleh menjejaskan nilai pantun itu sendiri, " jelasnya kepada mStar Online.

Kenyataan media yang dikeluarkan oleh ATM selepas larangan penggunaan pantun tular dan dipertikaikan.

Dalam pada itu, Sasterawan Negara Datuk Dr Zurinah Hassan berkata, untuk majlis rasmi tertentu, syair atau gurindam lebih sesuai digunakan.

Bagaimanapun beliau percaya larangan yang dikeluarkan oleh ATM adalah mengikut kesesuaian masa dan majlis.

"Pantun lebih dikaitkan dengan bahasa rakyat. Jika ada raja-raja, syair atau gurindam lebih sesuai.

"Bagi saya keputusan ini dibuat berdasarkan situasi," katanya.

Sebelum ini ATM melarang majlis-majlis rasminya menggunakan pantun ketika acara yang melibatkan Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu dan pembesar negeri, acara perbarisan dan acara rasmi yang dilaksanakan di peringkat ATM dan perkhidmatan TDM, TLDM dan TUDM.

Selepas langkah itu tular dan dipertikaikan, ATM mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan bahawa organisasi itu mengenepikan adat dan budaya.

"Namun ATM masih memberi kelonggaran untuk penggunaan pantun, gurindam, seloka dan seumpanya di dalam majlis yang tidak bersifat rejimental seperti sambutan melibatkan anggota keluarga, sukan dan sebagainya," menurut kenyataan tersebut.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Larangan pantun

Artikel Lain