suria

Kawan ‘lupa diri’, banyak cakap selepas lagu Ragaman versi Nogori tular

Amirul Husyairi (kanan) tular di Twitter selepas menyanyikan lagu cover Ragaman versi Negeri Sembilan.

PETALING JAYA: Keindahan melodi dan lirik lagu Ragaman dendangan penyanyi Faizal Tahir menjadi siulan peminat muzik tanah air sehingga trending nombor satu di Youtube pada bulan lalu.

Terbaharu, lagu cover Ragaman versi Negeri Sembilan oleh tiga sahabat dari Senawang tular di Twitter dan Instagram sejak ia dimuat naik pada Isnin.

Video tersebut ditonton lebih 287,000 kali di Twitter dan 242,000 kali di Instagram @kucaimars.

Rata-rata netizen jatuh cinta mendengar kemerduan suara Amir Husyairi Nani, 21, yang mempunyai keunikan tersendiri.

Amir Husyairi yang lebih dikenali sebagai Kucaimars berkata, dia tidak menyangka video tersebut mendapat sambutan baik daripada netizen kerana ia dirakam sekadar suka-suka bersama dua lagi rakannya.

Amir Husyairi sering mendapat jemputan membuat persembahan nyanyian di beberapa universiti di seluruh negara.

"Mula-mula saya, Shidee dan Daniel nak lepak je dekat pondok rumah Daniel, kemudian terdetik nak buat video kelakar.

"Saya cadangkan kami buat kelainan sedikit dengan lagu Ragaman memandangkan lagu tu tengah naik sekarang.

"Kami pun buat lagu Ragaman versi Nogori (Negeri Sembilan) dan selitkan sedikit elemen lakonan," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Ahad.

Tambah graduan Diploma Teknologi Kreatif (Teater) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana itu, ramai yang meminta agar mereka bertiga membuat rakaman penuh lagu itu dalam loghat Negeri Sembilan kerana menyukai versi tersebut.

Kata anak sulung daripada empat beradik itu lagi, mereka mempertimbangkan untuk merakam semula lagu itu di studio tidak lama lagi.

Selepas video tersebut tular, Amirul Husyairi memberitahu, sikap rakannya Muhammad Shidee yang sebelum ini pemalu berubah menjadi lebih yakin.

Amir Husyairi merupakan lulusan Diploma Teknologi Kreatif (Teater) dari UiTM Puncak Perdana.

"Lama jugalah saya nak rakam 'part' awal yang mereka berdua berdialog tu.

"Lebih kurang 30 minit baru dapat rakam sebab saya asyik tergelak tengok aksi Shidee yang pemalu.

"Tapi, lepas dah 'viral', saya geram pula sebab dia semakin banyak bercakap... saya bergurau kata dia dah lupa diri sejak popular," katanya sambil menambah mereka bertiga merupakan sahabat baik sejak kecil.

Pemuda yang menjadikan Aizat Amdan sebagai idolanya itu juga pernah memuat naik beberapa lagu cover seperti Mimpi yang Sempurna dan Semua Tentang Kita dendangan kumpulan Peter Pan menerusi saluran YouTube KucaiMars.

Bakat yang dimilikinya telah membuka peluang untuknya membuat persembahan nyanyian di beberapa universiti di seluruh Malaysia.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Ragaman

Artikel Lain