suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Pertikai kuasa pembatalan tanpa nasihat MB, 10 bekas Exco Negeri Sembilan mohon mahkamah isytihar pemecatan tidak sah

Sepuluh bekas Exco saman isu pembatalan pelantikan mereka yang diwartakan pada 24 September lalu.

SEPULUH bekas ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan memfailkan saman pemula bagi mencabar kesahan pembatalan pelantikan mereka yang diwartakan pada 24 September lalu.

Firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak yang mewakili kesemua plaintif memaklumkan saman itu difailkan pada 5 Oktober terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri dan kerajaan Negeri Sembilan.

Menerusi kenyataan, firma berkenaan berkata, plaintif memohon pengisytiharan Mahkamah Tinggi berhubung kesahan dan keberkuatkuasaan notis warta yang dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Persoalan utama yang dibangkitkan ialah sama ada pelantikan seorang ahli Exco selain Menteri Besar boleh dibatalkan semata-mata atas penarikan perkenan Yang di-Pertuan Besar, tanpa nasihat Menteri Besar.

Menurut pihak plaintif, kuasa pembatalan itu perlu dilaksanakan mengikut keperluan dan prosedur yang ditetapkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

ARTIKEL BERKAITAN: Warta rasmi sudah keluar… Pelantikan 10 Exco Negeri Sembilan terbatal!

"Saman pemula itu difailkan bersama 10 afidavit sokongan daripada semua plaintif dan satu afidavit tambahan daripada Menteri Besar Negeri Sembilan," menurut kenyataan tersebut.

Kesemua plaintif itu ialah Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Datuk Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umairah Hashim dan Datuk Mohd Asna Amin.

Turut sama Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.

Mereka memohon pengisytiharan bahawa Perkara XXXVIII(5) perlu dibaca bersama Perkara XXXVIII(2), XXXVIII(3), XXXVIII(4), XL(1), XL(1A) dan XL(2) undang-undang tubuh negeri berkenaan dalam menentukan kuasa pembatalan pelantikan ahli Exco.

Sekiranya pembatalan itu tidak dilaksanakan mengikut peruntukan tersebut, plaintif memohon supaya tindakan berkenaan serta Warta Kerajaan Negeri Sembilan NS PU 18 bertarikh 24 September diisytiharkan tidak sah, terbatal dan tidak berkuat kuasa terhadap mereka.

Kesemua plaintif turut menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk yang akan ditaksir mahkamah, selain faedah lima peratus setahun dari tarikh pemfailan sehingga penyelesaian penuh, kos serta relif lain.

Pendengaran kes ditetapkan pada 21 Oktober. -The Star

Artikel Lain