BEKAS Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas pertuduhan menghasut membabitkan krisis adat Negeri Sembilan, Jun lalu.Rais, 84, yang juga Pengerusi Parti Wawasan Negara, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin pada Jumaat. Rais yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan didakwa menyebut perkataan menghasut di sebuah hotel di Simpang Ampat, Alor Gajah, kira-kira pukul 1 petang pada 5 Jun lalu.Kenyataan itu didakwa antara lain mengandungi doa untuk kesejahteraan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-12, selain menyeru rakyat memberikan taat setia kepada baginda mengikut undang-undang dan adat negeri.Rais didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama, dengan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.Timbalan Pendakwa Raya, Shahrizat Ismail, Nor Azizah Aling dan Nadia Mohd Izhar mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.Rais diwakili pasukan lima peguam yang diketuai anaknya, Danni Rais, yang memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan lebih rendah.Danni berkata bapanya memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa walaupun hanya dimaklumkan mengenai pertuduhan itu kira-kira pukul 10.30 malam, Khamis.Mahkamah kemudian membenarkan Rais diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes. -The Star