suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

“Ada datang cari sampai rumah” - Keluarga Muhammad Shah turut jadi sasaran kes Rocky, sertai operasi bukan niat bunuh haiwan

Muhammad Shah (depan, tiga dari kanan) mendakwa menerima ancaman selepas tular isu kematian Rocky.

PEMUDA yang dikaitkan dengan insiden kematian seekor anjing bernama Rocky pada 29 Julai lalu berdepan tekanan apabila menerima pelbagai ancaman termasuk terhadap keluarganya.

Muhammad Shah Hizam, 24, berkata, ada pihak cuba datang mencarinya susulan wajahnya tular di media sosial kerana berasa marah disebabkan dia disangka menyeksa haiwan tersebut ketika terlibat dalam operasi menangkap anjing liar di Taman Telok Gedong Indah, Pelabuhan Klang.

"Rasa terancam memang ada. Banyak yang mengancam saya dan keluarga saya.

"Hari pertama dan kedua ketika perkara ini tular, ada juga yang datang untuk mencari saya.

“Mereka tidak jumpa kerana keselamatan saya dijaga pihak Kawasan Rukun Tetangga (KRT)," katanya pada sidang akhbar #JusticeForShah di Shah Alam, pada Khamis.

Muhammad Shah berkata, dia kecewa apabila terdapat pihak menyebarkan dakwaan tidak benar tentang penglibatannya tanpa menyiasat atau memastikan kesahihan maklumat terlebih dahulu. 

ARTIKEL BERKAITAN: Siasatan kes kematian Rocky sudah lengkap, polis tunggu arahan Timbalan Pendakwa Raya

"Saya agak kecewa sebab mereka sebarkan benda yang tidak benar. Mereka tidak selidik dahulu sama ada benda itu betul atau tidak.

“Daripada apa yang mereka post, saya dapat macam-macam ancaman," katanya.

Mengulas mengenai insiden 'perebutan' Rocky dengan wanita yang didakwa pemilik haiwan itu, Muhammad Shah menjelaskan dia ada meminta individu tersebut bertenang selepas melihatnya memegang pisau.

"Saya suruh dia bertenang, tak ada emosi atau apa kerana dia pegang pisau. Jadi, ia boleh membahayakan orang di sekeliling juga," ujarnya sambil menambah itu adalah kali pertama dia menyertai operasi penangkapan anjing liar.

Muhammad Shah turut menjelaskan operasi berkenaan bukan dilakukan secara suka-suka, sebaliknya dilaksanakan di bawah seliaan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

Katanya, operasi itu dijalankan susulan aduan penduduk berhubung anjing yang berkeliaran tanpa kawalan dan dikhuatiri boleh mengancam keselamatan awam.

”Saya tak sokong kekejaman terhadap haiwan dan kehadiran saya pada malam itu bukan berniat mencederakan atau membunuh mana-mana haiwan,” jelasnya.

Rocky disahkan mati dalam kejadian itu ketika operasi menangkap anjing liar dijalankan hasil kerjasama antara Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan penduduk setempat di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang.

Insiden itu mencetuskan perhatian ramai selepas rakaman video operasi berkenaan tular di media sosial.

Susulan penularan video tersebut, segelintir pihak mendakwa anggota yang terlibat bertindak kasar dan melakukan kekejaman sehingga menyebabkan kematian anjing berkenaan.

Artikel Lain