suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Selepas bayar kompaun RM10 juta, 26 pertuduhan pengubahan wang haram terhadap Nicky Liow ditarik balik

Nicky Liow membayar kompaun sebanyak RM10 juta pada 29 Mei 2023.

JABATAN Peguam Negara (AGC) menjelaskan bahawa ahli perniagaan, Liow Soon Hee atau lebih dikenali sebagai Nicky Liow, telah membayar kompaun sebanyak RM10 juta sebelum kesemua 26 pertuduhan pengubahan wang haram terhadapnya ditarik balik.

Menurut AGC, kompaun itu dibayar pada 29 Mei 2023 selepas pihaknya meneliti representasi yang dikemukakan peguam Liow bagi memohon semua pertuduhan dikompaunkan mengikut Seksyen 92 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Selain kompaun RM10 juta, penyelesaian itu turut melibatkan pelucuthakan bon berjumlah RM647,366 serta harta yang sebelum ini disita pihak berkuasa.

AGC menegaskan Liow tidak pernah dilepaskan tanpa sebarang tindakan undang-undang, sebaliknya penyelesaian dibuat mengikut peruntukan undang-undang selepas mempertimbangkan keseluruhan bukti siasatan.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjawab laporan sebuah portal berita yang mempersoalkan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) melibatkan Liow.

Liow didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 12 April 2022 atas 26 pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4 AMLA.

Menurut AGC, representasi daripada peguam Liow dikemukakan pada 15 Disember 2022 dan 6 April 2023 sebelum dipersetujui oleh pihak pendakwaan berdasarkan penilaian terhadap keseluruhan bukti yang ada.

Selepas kompaun dijelaskan pada 29 Mei 2023, pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan mengikut Seksyen 92 AMLA dan pada 15 Jun 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam memerintahkan Liow dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan.

AGC turut menegaskan keputusan itu dibuat mengikut kuasa budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang berkaitan, tanpa dipengaruhi tekanan luar atau sentimen awam, sebaliknya demi memastikan integriti proses pendakwaan dan ketelusan sistem keadilan jenayah.

Artikel Lain