Ameer membangunkan platform bagi memudahkan umat Islam menyumbang kepada pembangunan masjid dan surau.
USAHA untuk memudahkan orang ramai berinfak kini menjadi lebih praktikal menerusi sebuah platform khas dengan menghimpunkan senarai masjid dan surau dari seluruh negara yang memerlukan bantuan dana.Platform digital dikenali sebagai portal masjidkita.my ini dibangunkan oleh seorang jurutera perisian dikenali sebagai Ameer Shah. Ia sebagai medium menghubungkan penyumbang terus dengan rumah ibadah yang memerlukan dana bagi tujuan pembangunan, pembaikan, mahupun kerja-kerja naik taraf.Menurutnya, portal berkenaan diwujudkan bagi memudahkan orang ramai mencari lokasi yang benar-benar memerlukan bantuan, sekali gus menggalakkan lebih ramai masyarakat untuk terus menyumbang kepada ke jalan Allah.Setiap permohonan akan disemak terlebih dahulu sebelum disenaraikan."InsyaAllah, portal ini dapat memudahkan orang ramai mencari dan menyalurkan infak. Anda juga boleh bantu dengan menambah listing masjid atau surau yang memerlukan bantuan."Semoga usaha kecil kita ini memudahkan lebih ramai menyumbang kepada rumah-rumah Allah," katanya menerusi perkongsian di Threads.Selain menyumbang, orang ramai turut diberi ruang untuk membantu memperluaskan capaian maklumat dengan menambah senarai masjid atau surau yang memerlukan dana menerusi butang khas '+' yang disediakan di platform tersebut.Ameer menjelaskan setiap permohonan untuk disenaraikan akan disemak terlebih dahulu sebelum diluluskan bagi memastikan hanya masjid dan surau yang mempunyai surat kelulusan sah dipaparkan dalam portal berkenaan."Platform ini juga tidak buat sebarang kutipan, kita hanya mengumpulkan senarai masjid dan surau yang memerlukan sumbangan dana, dengan sumbangan itu terus dibuat ke saluran rasmi," katanya.Mengenai rekod kutipan derma, Ameer berkata jumlah yang dipaparkan akan dikemas kini berdasarkan maklumat yang dikongsikan oleh saluran rasmi masjid atau surau seperti laman Facebook, laman web dan medium rasmi lain.Perkongsian itu menarik perhatian ramai dengan semuanya memberi reaksi positif termasuk Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman."Great idea! Terima kasih kerana permudahkan urusan bantuan," komen Syed Saddiq.