suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Nurul Izzah lepas jawatan Timbalan Presiden PKR, mahu fokus pengajian lanjutan

Nurul Izzah merakamkan penghargaan kepada kepemimpinan parti kerana mengambil maklum akan keputusannya melepaskan jawatan berkenaan.

BEKAS Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar mengambil keputusan melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ujar Nurul Izzah, keputusan itu dibuat selepas pertimbangan panjang bagi membolehkannya meneruskan pengajian lanjutan. 

Bagaimanapun beliau akan terus kekal sebagai anggota PKR dan akan terus memberi sokongan kepada perjuangan parti ke arah Malaysia yang lebih baik.

"Kepada seluruh anggota Keadilan (PKR), pimpinan di setiap peringkat, sahabat seperjuangan dan setiap insan yang telah bersama saya dalam perjuangan ini, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan.

"Terima kasih di atas kepercayaan, teguran, doa dan pengorbanan yang tidak pernah putus," katanya dalam kenyataan media di Facebook, malam Khamis.

Nurul Izzah turut mengucapkan penghargaan kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kepemimpinan parti kerana mengambil maklum akan keputusannya melepaskan jawatan berkenaan.

Dalam pada itu, Nurul Izzah yakin Timbalan Presiden Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Pengarah Pilihan Raya, Datuk Seri Amirudin Shari akan melaksanakan amanah ini dengan penuh kebijaksanaan, hikmah dan ketekunan dalam menggalas harapan rakyat.

"Saya mendoakan agar setiap urusan mereka dipermudah dalam memikul tanggungjawab ini," katanya.

Terdahulu, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR memutuskan memberi cuti sementara kepada Nurul Izzah bermula selepas Kongres Nasional 2026, selain melantik Saifuddin Nasution menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden secara sementara.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat selepas MPP meneliti permohonan Nurul Izzah untuk mengundurkan diri daripada jawatan berkenaan serta mendengar pandangan beliau dan barisan kepimpinan parti.

Sementara itu, Nurul Izzah memberitahu akan hadir ke Kongres Nasional PKR pada 14 dan 15 Ogos ini.

Artikel Berikut

Artikel Lain