SEPASANG suami isteri cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka merempuh sekumpulan gajah liar di Kilometer 274.6 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), berhampiran susur keluar Plaza Tol Cheneh di Kemaman, Terengganu pada Selasa.Dalam kejadian 10.20 malam itu, pemandu, Abdul Wahid Ismail cedera di tangan kiri manakala isterinya, Fauziah Muda cedera di bahagian tangan kanan. Kejadian berlaku ketika pasangan itu sedang dalam perjalanan dari arah Kuantan untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Pasir Gajah.Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh, Zubaderi Dahari, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.31 malam.“Kita bertindak mengeluarkan mangsa dari sebuah Toyota Estima dan memberi rawatan awal.“Pemandu dan penumpang kenderaan kemudiannya diserahkan kepada pasukan perubatan dan dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut,” katanya.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, siasatan awal mendapati Abdul Wahid tidak sempat mengelak kumpulan gajah yang dipercayai mahu melintas jalan.“Jarak yang terlalu dekat menyebabkan mangsa tidak sempat menekan brek lalu merempuh gajah tersebut. “Rempuhan itu mengakibatkan pasangan suami isteri berkenaan mengalami kecederaan,” katanya.