AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Datuk Ismail Lasim dilihat sebagai calon paling berpotensi untuk dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu susulan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu.Ahli politik veteran Umno berusia 67 tahun itu dijangka mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti pada pagi Ahad. Ismail yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Pilah bukanlah nama asing dalam pentadbiran negeri apabila sebelum ini memegang portfolio Pendidikan dan Modal Insan dalam kerajaan negeri terdahulu.Beliau pernah berkhidmat sebagai ADUN Senaling dari tahun 1999 hingga 2018 sebelum mewakili kerusi Juasseh bagi tempoh 2018 hingga 2023.Pada Pilihan Raya Negeri yang berlangsung semalam, Ismail berjaya mempertahankan kerusi Juasseh selepas menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Aidil Abdullah dan calon Bersatu, Mohd Zuhaimi Md Yusof dalam pertandingan tiga penjuru.Beliau memperoleh 6,907 undi, jauh mengatasi Mohd Aidil yang meraih 2,816 undi manakala Mohd Zuhaimi memperoleh 506 undi.Selain berpengalaman dalam politik negeri, Ismail juga memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya.Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada malam Sabtu memaklumkan bahawa tiga nama telah dikemukakan kepada Tuanku Muhriz untuk dipertimbangkan bagi jawatan Menteri Besar.Menurut beliau, Yang di-Pertuan Besar mempunyai budi bicara mutlak untuk menentukan individu yang akan dilantik menerajui pentadbiran negeri. -The Star