SEMUA Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada Barisan Nasional (BN) yang berjaya dipilih perlu memulakan tugas dengan segera, kata Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.Beliau berkata, semua janji yang terkandung dalam manifesto perlu dilaksanakan sebagai tanda menghargai kepercayaan rakyat yang diberikan kepada BN. “Semua janji dalam manifesto mesti dilaksanakan. Kepercayaan rakyat kepada kita mesti dibalas dengan perkhidmatan yang cekap,” katanya pada sidang media di Wisma Umno pada Sabtu.Ahmad Zahid berkata, persefahaman antara BN dan Perikatan Nasional (PN) kini akan diterjemahkan melalui pembentukan kerajaan negeri yang stabil berdasarkan mandat rakyat.Menurutnya, mandat tersebut hadir bersama tanggungjawab besar untuk membentuk kerajaan negeri yang stabil, berwibawa dan bekerja keras dalam menyelesaikan masalah rakyat serta membawa kemakmuran lebih besar kepada Negeri Sembilan.Beliau turut menegaskan tiada ruang untuk mempamerkan sikap angkuh atau berasa selesa selepas memperoleh kemenangan.“Kepercayaan rakyat mesti dibalas dengan kerja keras, pentadbiran berwibawa dan perkhidmatan yang lebih baik kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan,” katanya.Ahmad Zahid berkata, BN dan PN akan mengadakan perbincangan lanjut bagi memuktamadkan pembentukan kerajaan negeri baharu, tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Undang Yang Empat.“Kita menerima keputusan ini dengan penuh rendah diri dan rasa tanggungjawab yang mendalam,” katanya.Berdasarkan keputusan tidak rasmi, BN memperoleh 18 kerusi, manakala PN memenangi tujuh kerusi, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 25 kerusi.Sebelum ini, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki, berkata BN bersama PN mendahului dengan gabungan 25 kerusi berdasarkan keputusan tidak rasmi, sekali gus membolehkan kedua-dua gabungan itu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.Jumlah dua pertiga bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi ialah sebanyak 24 kerusi. -The Star