MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mula menghantar surat tuntutan (LOD) kepada mana-mana pihak yang didakwa memutar belit dan memanipulasi kenyataannya.Menurut Sanusi, lebih banyak notis perundangan dijangka bakal menyusul tidak lama lagi.Dalam hantaran di Facebook pada pagi Selasa, Muhammad Sanusi berkata urusan notis berkenaan dikendalikan oleh pasukan guamannya dan lebih ramai individu berada dalam senarai untuk menerima tindakan sama. "Penyerahan LOD ini diuruskan oleh pasukan guaman. Semoga memberi pengajaran kepada semua."Ada ramai lagi dalam senarai untuk menerima LOD seumpama ini dengan tuntutan yang sesuai dengan ‘tujuan dan kemahuan’ mereka sendiri melalui tindakan memutar belit, menokok tambah, mengada-adakan yang tiada, memberi komen berasaskan sumber yang diputar belit tanpa periksa, memesong dan memanipulasi ucapan saya di luar maksud sebenar," tulisnya.Tindakan undang-undang itu dipercayai berkaitan sebuah video TikTok yang dimuat naik pada 24 Julai lalu, susulan ucapan Muhammad Sanusi ketika menyampaikan ceramah kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 di Jempol.Sebelum ini, Muhammad Sanusi berkata dia akan mengambil tindakan undang-undang serta membuat laporan polis terhadap pihak yang didakwa memanipulasi kenyataannya untuk kepentingan politik.