PERTUBUHAN Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya (Merhrom) merayu kerajaan Malaysia dan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mencari penyelesaian terhadap nasib warga mereka di negara ini.Presidennya, Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata, rayuan itu dibuat susulan insiden lebih 100 pelarian Rohingya yang dipindahkan dari kediaman mereka di Kuala Muda, Pulau Pinang pada Ahad lalu. Menurutnya, kumpulan pelarian berkenaan menaiki empat bas menuju ke pejabat UNHCR di Kuala Lumpur pada malam sama bagi mendapatkan bantuan selepas kehilangan tempat tinggal."Mereka tidak pergi ke pejabat UNHCR untuk mengadakan perhimpunan, sebaliknya bagi mendapatkan bantuan selepas diusir oleh pemilik rumah dan penduduk kampung."Kami berada di sini untuk mencari perlindungan, bukannya mengambil alih negara ini," katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook pada pagi Selasa.Zafar mendakwa ratusan pelarian yang terjejas kini memerlukan penempatan sementara kerana kebanyakan mereka meninggalkan hampir semua harta benda dan hanya sempat membawa beberapa helai pakaian.ARTIKEL BERKAITAN: Wanita terseksa satu bas dengan 40 lelaki Rohingya, bau ‘bangkai’ menusuk hidung - “Dari Pasir Putih sampai Machang aku tak bernafas”Dakwanya lagi, pelarian wanita dan kanak-kanak berada dalam keadaan ketakutan serta bimbang terhadap nasib serta masa depan mereka.Zafar turut mendakwa insiden seumpama itu bukan kali pertama berlaku, malah pernah dilaporkan di beberapa negeri lain."Merhrom menyeru kerajaan Malaysia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), ASEAN, para pemimpin dunia, organisasi masyarakat sivil, organisasi berasaskan keagamaan, organisasi berasaskan komuniti serta komuniti antarabangsa agar meningkatkan usaha bagi menamatkan konflik, peperangan dan genosid."Merhrom menyeru semua pihak berkepentingan agar memastikan hak terhadap pendidikan diberikan kepada semua kanak-kanak, termasuk kanak-kanak pelarian, sebagai persediaan untuk kami kembali ke negara asal apabila keadaan mengizinkan."Pendidikan juga akan membantu golongan pelarian dalam proses penempatan semula ke negara ketiga," menurut kenyataan itu lagi.Pada Isnin, media melaporkan ratusan etnik Rohingya berkampung di hadapan pejabat UNHCR di Jalan Bukit Petaling selepas diusir keluar oleh penduduk tempatan dari penempatan mereka di Pulau Pinang.Kumpulan itu kemudiannya dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi proses dokumentasi dan pengesahan identiti sebelum tindakan lanjut diambil oleh pihak berkuasa.